PRK
Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kiri) mengangkat tangan bersama Calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan (kiri), Stevie Chan Kee Leong (dua kiri), Calon Pas, Mohd Nazari Mokhtar (empat kanan), Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad (tiga kanan), Calon Bebas, Lau Seck Yan (dua kanan) dan Calon Bebas, Kan Chee Yen (kanan) selepas pengumuman pencalonan pada Hari Pernamaan Calon Pilihanraya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Pork Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2018.

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dipertemukan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Kedua-dua individu itu akan berkempen selama 14 hari untuk PRK yang berlangsung pada 13 Oktober ini.

Selain Saiful Bukhari, Anwar juga akan berdepan dengan lima lagi pesaing bagi merebut kerusi Parlimen itu.

Pegawai Pengurus PRK, Khairy Maamor mengesahkan lapan calon telah mengemukakan kertas pencalonan selepas proses penamaan calon yang berlangsung di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dibuka 9 pagi dan ditutup sejam kemudian.

“Saya menyemak setiap kertas penamaan calon dan satu calon ditolak kertas pencalonannya,” katanya.

Khairy mengesahkan calon yang sah bertanding ialah tujuh orang iaitu Anwar Ibrahim (Harapan), Lau Seck Yan (Bebas), Saiful Bukhari Azlan (Bebas), Mohd Nazari Mokhtar (Pas),Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Bebas), Steve Chan Keng Leong (Bebas) dan Kan Chee Yuen (Bebas).

Bagaimanapun calon Parti Rakyat Malaysia, Ahmad Kamarudin yang mengumumkan untuk bertanding pada Khamis lalu tidak muncul sehingga proses penamaan calon ditutup.

Sementara itu, Anwar tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.31 pagi sebelum menyerahkan kertas pencalonannya pukul 9.15 pagi.

Beliau diiringi para pemimpin Pakatan Harapan iaitu isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Mohamed Azmin Ali,Anthony Loke, Abdul Khalid Samad dan Dr Xavier Jayakumar.

Pilihan Raya Kecil diadakan selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan pengunduran pada 12 September lalu membuka ruang untuk Ketua Umum PKR itu bertanding ke Parlimen. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan