Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO perlu bersiap sedia dari sekarang untuk berdepan dengan golongan muda yang akan mencecah usia 18 tahun, kata wakil Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail.

Ini kerana katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menetapkan akta pilihan raya bahawa remaja berusia 18 tahun layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kira-kira lima tahun dari sekarang.

“Kita harus memperbanyakkan program dan kempen mendekati golongan ini mulai sekarang kerana bakal menentukan parti mana akan memerintah.

“Kita dapat lihat kesungguhan kerajaan PH untuk meminda Perlembagaan supaya remaja yang mencapai usia 18 tahun berdaftar sebagai pengundi,” katanya ketika sesi usul ucapan Dasar Ketua Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Rizam, beloau yakin Pemuda UMNO di bawah kepimpinan baharu peka dengan isu itu dan mempersiapkan seluruh jentera sayap parti itu di semua peringkat untuk mengenalpasti bakat-bakat baru dalam kalangan anak muda.

Pemuda katanya, perlu mengangkat ikon itu untuk diketengahkan supaya ia menjadi model dan contoh kepada generasi sebaya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan