KUALA LUMPUR – S&P Global Ratings menyemak semula unjuran penanda aras minyak mentah Brent kepada AS$70 setong pada 2019 berikutan ia dijangka tidak terus kukuh melebihi US$80, dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai bekalan.

Pengarah Penarafan Korporat Asia Pasifik Bertrand Jabouley berkata, ia mengenai masa sebelum pengeluar minyak mula meningkatkan kapasiti pengeluaran minyak mereka dan menyediakan pasaran dengan komoditi, terutamanya dalam persekitaran harga tinggi semasa.

“Unjuran awal kami bagi 2019 adalah AS$65 setong. Bagi 2020, kami mengunjurkan minyak mentah Brent mencecah AS$60 setong,” katanya pada taklimat media mengenai ASEAN Credit Spotlight di sini hari ini.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat kepada AS$83.25 setong hari ini, naik 0.63 peratus daripada ditutup sebelum ini.

“Melihat kepada keluk niaga hadapan minyak mentah Brent, ia kekal pada aliran menurun, selain, peniaga dan profesional minyak agak ragu-ragu mengenai keupayaan harga minyak untuk terus kukuh,” katanya.

Jabouley juga berkata kos pengeluaran pulang modal terus menjadi isu utama global dalam sektor ini, berdasarkan jumlah pengeluar minyak syal AS yang berjaya mengurangkan kos pulang modal mereka.

“Bagi permintaan, ia tidak akan menjadi isu dan kami positif mengenai permintaan dalam pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan