Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

PETALING JAYA РPihak berkuasa agama perlu mendapatkan waran geledah terlebih dahulu sebelum mereka dibenar mengetuk pintu atau memasuki premis tertentu yang disyaki berlaku sesuatu yang menyalahi agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujhid Yusof Rawa berkata, penguatkuasa agama tidak boleh sewenang-wenangnya menceroboh mana-mana premis sebaik sahaja menerima aduan orang ramai.

“Tak semudah terus pergi (serbuan), masih ada beberapa isu yang kita perlu periksa dan perkara ini kita sedang tambah baik. Ia tidak semudah kita boleh serbu hanya disebabkan ada orang buat aduan.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) timbul bila kita terima aduan. Mana-mana aduan yang datang kepada pihak berkuasa mesti pertamanya disiasat.

“Bila disiasat, mereka perlu mendapatkan waran sebelum boleh ketuk pintu selepas semua proses telah disiasat di mana ada sesuatu berlaku dalam tempat itu.

“Mereka perlukan waran sebelum masuk dan itu juga SOP bagaimana mereka menjalankan tugas seperti minta nama dan kad pengenalan,” katanya pada sidang media di Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS), di sini, hari ini.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bergambar bersama wakil-wakil Mufti dan tetamu yang hadir pada Persidangan Meja Bulat Falsafah Dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 08 OKTOBER 2018.

Mujahid berkata, penguatkuasa agama masih terikat dengan SOP serbuan jabatan agama itu termasuk mengambil kira aduan bukan dibuat kerana soal peribadi atau boleh menjejaskan kemaslahatan umum.

“Kalau anda tinggal di taman perumahan, kemudian ada sebuah rumah di mana banyak kali dilihat banyak lakukan sesuatu yang salah.

“Jiran dan keseluruhan masyarakat di situ juga tidak berasa selesa mengenainya, kerana ia menggalakkan perbuatan itu dalam kalangan anak-anak dan keluarga mereka

“Ketika itu baru mereka perlu buat aduan. Bila buat laporan, baru SOP masuk, mereka kena periksa aduan ini, adakah seorang saja tidak selesa, nak timbulkan masalah padahal orang lain elok saja,” katanya.

Mujahid bagaimanapun berkata, sebagai seorang Islam perlu bertangngungjawab membuat teguran kepada jiran yang dilihat melakukan kesalahan yang bertentangan agama sebelum aduan dibuat.

“Sebagai seorang Islam, kalau kita nampak jiran kita lakukan sesuatu yang buruk, ia satu tanggungjawab untuk menasihatkan jiran kita.

“Jika anda lakukan perkara itu di rumah sendiri tapi tiada aduan, orang tak bising, ia tidak salah dalam bidang kuasa saya.

“Jika anda sudah melakukan pelbagai cara dan fikir kalau ia berlarutan dan boleh menggalakkan kepada tempat awam, kemudian baru anda boleh datang beritahu kami,” katanya.

Katanya, tindakan menendang dan memecahkan pintu tempat peribadi tidak terkandung dalam SOP penguatkuasa dan jika sebelum ini berlaku ia adalah satu pelanggaran undang-undang.

“Isu ceroboh masuk, tendang pintu, pecah pintu, itu tiada dalam SOP. Kalau ada perlakuan ini ia telah disalahgunakan ketika tugas dijalankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan