Ketua Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Amalan Pelaburan Global Bank Dunia, Richard Record berkata, paras hutang negara masih sederhana dan tidak membimbangkan.

KUALA LUMPUR – Bank Dunia mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa hutang negara masih terkawal.

Ketua Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Amalan Pelaburan Global Bank Dunia, Richard Record berkata, paras hutang negara masih sederhana dan tidak membimbangkan.

Ini kerana, 97.7 peratus daripada hutang negara adalah dalam denominasi ringgit yang hanya memberi pendedahan terhad kepada kerajaan dari segi tukaran asing.

“Kedudukan hutang negara masih lagi baik berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, lantaran itu ia (hutang) bukanlah membimbangkan,” katanya pada sesi perbincangan Persidangan Pelaburan bertajuk Malaysia: A New Dawn anjuran Kementerian Kewangan di sini.

Jelas Richard lagi, Malaysia masih berisiko rendah untuk berdepan dengan krisis meskipun berdepan dengan jumlah hutang negara mencapai angka RM1 trilion.

Tetapi, Richard berkata, kerajaan perlu memastikan hutang berkenaan ditangani dengan telus dan berhati-hati serta melaksanakan pengurusan berhemah.

Beliau yang ditanya adakah Malaysia perlu membuat pinjaman asing, beliau berkata, negara ini tidak perlu berbuat demikian kerana ekonomi negara masih teguh dan berdaya saing.

“Negara mengalami lebihan akaun, pasaran modal dan ekonomi masih kukuh.

“Situasi semasa tidak sama berbanding Krisis Kewangan Asia 20 tahun lalu, justeru itu saya tidak nampak keperluan untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Richard juga menambah, Malaysia perlu meningkatkan pertumbuhan dengan meneroka peluang-peluang ekonomi digital yang mampu memacu ekonomi pada masa depan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan