Sebahagian pelajar tingkatan 3 kelihatan tekun menjawab soalan kertas Bahasa Melayu pada hari pertama peperiksaan PT3 ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan kebocoran empat kertas ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu.

Jelas kenyataan Lembaga Peperiksaan, sekolah melaksanakan PT3 mengikut semua garis panduan yang ditetapkan.

“Walaubagaimanapun terdapat khabar angin yang tular mengatakan bahawa instrumen Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu telah bocor dan calon dikehendaki menduduki semula kertas tersebut pada tarikh yang dinyatakan.

“LP ingin memaklumkan bahawa berita tentang kebocoran tersebut adalah tidak benar.

““Pihak sekolah sudah melaksanakan PT3 berdasarkan garis panduan yang diberikan oleh Lembaga Peperiksaan dengan penyeliaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” kata LP menerusi kenyataan.

Justeru menurutnya, tiada keperluan calon menduduki semula kertas tersebut kerana berita yang tular di media sosial itu adalah palsu.

“Ibu bapa serta penjaga dan murid tidak perlu bimbang berkaitan perkara ini,” tambah kenyataan.

Baru-baru ini, tersebar berita mengenai kebocoran empat kertas berkenaan di mana calon dikehendaki menduduki semula.

Untuk rekod, ujian bertulis PT3 dijalankan serentak di seluruh negara dari 1 hingga 4 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan