Hashim Meon
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) pada Majlis Perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 turut bersama Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad (kir) dan Pengerusi Mental Health Foundation, Tan Sri Hashim Meon (kanan) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 11 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia dinasihati mengubah stigma kononnya masalah kesihatan mental adalah sama dengan penyakit mental dengan beranggapan pesakitnya hanya merayau tanpa hala tuju serta meracau.

Pengerusi Yayasan Kesihatan Mental (MHF), Tan Sri Hashim Meon berkata, masalah kesihatan mental juga wujud dalam rumah dengan tanda-tanda kemurungan, keresahan dan tekanan.

“Cabaran terbesar pada masa kini tidak lain tidak bukan daripada mengubah stigma oleh masyarakat bahawa permasalahan ini hanya wujud dalam kalangan pesakit meracau atau merayau sahaja.

“Ini wujud dalam rumah sendiri yang kadang-kadang kita tidak nampak kerana tiada kesedaran. Kemurungan, tekanan dan juga keresahan juga mampu mengundang masalah mental yang kadang-kadang menyumbang kepada tingkah laku bermasalah.

“Lebih membimbangkan sekiranya pesakit itu mula melakukan kesalahan juvana. Tekanan untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam bidang akademik, jadual serta displin ketat selain harapan ibu bapa yang tinggi menggunung juga menyumbang kepada penyakit ini.

“Ini bukan sahaja statistik di negara ini tetapi juga negara maju seperti Amerika Syarikat (AS). Kita masih lagi terkejut dengan laporan berita yang menunjukkan 29 peratus rakyat kita menderita sakit mental, ianya sudah meningkat 3 kali ganda sejak 10 tahun lepas. Membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 yang mendapati 5.5 juta remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun menghidapi gejala ini.

Hashim Meon menambah, ketika ini antara jalan penyelesaian adalah dengan meningkatkan kesedaran dari rumah yang dilkihat lebih berkesan bagi membendung masalah kesihatan mental sebelum menjadi lebih kritikal pada masa hadapan.

“Walaupun anak-anak selamat dengan berada dalam rumah namun seluruh dunia kini mampu dilihatnya hanya dalam bilik tertutup, sekali gus terdedah dengan risiko pendedahan serta akses yang tidak sepatutnya.

“Ibu bapa dan keluarga sebenarnya memainkan peranan lebih penting untuk membina ketahanan mental serta kekuataan dalaman anak-anak. Apa yang kita lihat kini adalah semua orang termasuk ibu bapa lebih ‘rela’ meluangkan lebih banyak masa terhadap peranti telefon pintar berbanding hubungan bersemuka.

“Persekitaran berisiko dan dengan statistik yang menggerunkan sebenarnya menunjukkan 2 daripada 7 remaja sekolah menengah mengalami ketagihan internet sementara 6 daripada 7 adalah pengguna aktif, ibu bapa sila ambil perhatian serius,” tegasnya.

Dalam pada itu, MHF terus giat aktif dalam menyebar kefahaman serta kesedaran awam mengenai berhubung penyakit kesihatan mental secara khusus. – Malaysia Gazette