Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Bilangan kes keracunan makanan (KRM) disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah, kini meningkat kepada 83, termasuk dua kematian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini susulan tiga kes baharu dilaporkan di Perak semalam.

“Mengikut pecahan, 34 kes termasuk dua kes kematian dilaporkan di Perak, 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Hanya satu kes masih berada di hospital dan (pesakit) berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kementerian sedang menunggu keseluruhan keputusan daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Pulau Pinang bagi 10 sampel makanan yang dihantar untuk ujian.

Ia merangkumi empat sampel mi laksa, empat sampel kuah laksa dan dua sampel bahan campuran salad untuk laksa.

“Untuk mengesahkan punca keracunan makanan memerlukan analisis menyeluruh dengan mengambil kira keputusan makmal, maklumat klinikal pesakit, analisa makanan yang terbabit dan penilaian persekitaran,” katanya. –  MalaysiaGazette