Taufan Michael melanda Florida di Amerika Syarikat sejak Rabu lalu. Foto NBC News

PANAMA CITY, AMERIKA SYARIKAT – Jumlah kematian akibat Taufan Michael terus meningkat kepada 18 orang hari ini ketika kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan di kawasan yang sukar dimasuki sebelum ini.

CNN melaporkan mangsa terbaharu ditemui di Virgina walaupun Florida merupakan lokasi paling teruk terjejas setakat ini.

Taufan Michael diletakkan dalam Kategori 4 pada Rabu lalu kerana menyebabjan kematian di empat negeri apabila sebahagian besar negeri itu dibadai angin kencang dan hujan lebat.

Gabenor Rick Scott menyifatkan bencana alam itu yang terburuk pernah melanda Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa dekad.

““Pantai Mexico berada dalam keadaan buruk dan kelihatan seperti zon perang,” katanya ketika melawat pekan dihuni 1,000 penduduk di Teluk Mexico itu.

Pasukan penyelamat dengan menggunakan khidmat anjing pengesan kini sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Ketua Agensi Pengurusan Kecemasan (FEMA), Brock Long memberi amaran jumlah kematian berkemungkinan akan terus meningkat.

“Kami berharap angka kematian tidak meningkat lagi namun sedia berdepan pelbagai kemungkinan kerana masih belum tiba di kawasan paling teruk terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan