KUALA LUMPUR – Akibat terlalu komited dengan karier, pelakon Shaheizy Sam mendedahkan pernah ingkar dengan nasihat doktor untuk berehat.

Perkara itu, katanya, berlaku apabila badannya kekurangan air kerana amalan pemakanan yang tidak teratur akibat kekangan kerja.

“Saya ada amalkan diet selama dua bulan dan saya tersalah susun atur penjagaan makanan dan minuman sehingga menyebabkan badan jadi kurang air. Ketika itu, waktu makan saya tak menentu dan ada satu masa saya boleh bertahan tanpa minum air beberapa hari.

“Sehari sebelum saya kembali ke set untuk menghabiskan baki penggambaran, saya pergi ke gimnasium untuk berlari dan buat senaman kecergasan sebab dapat rasa badan tak bersedia lagi untuk penggambaran.

“Nak jadikan cerita, tempat itu tidak disediakan ruang udara yang secukupnya sehingga kaki saya jadi kebas dan sukar bernafas.

“Bila dah jadi macam itu, saya terus hubungi kru produksi dan Zizan. Mereka datang dan tengok muka saya macam mayat sebab dah pucat teruk. Terus mereka segera bawa saya ke hospital,” katanya.

Sam berkata demikian ketika majlis pelancaran filem Polis Evo 2 yang diadakan di Gasket Alley, Petaling Jaya semalam.

Terdahulu pelakon filem Polis Evo 2 yang berusia 36 tahun itu pernah dimasukkan ke hospital akibat mengamalkan diet yang salah sehingga menyebabkan tubuhnya kekurangan air dalam badan.

Susulan kejadian itu, doktor menasihatinya agar berehat lebih lama di hospital namun demi komitmen kerjanya yang hanya berbaki beberapa hari lagi, aktor tersebut meminta dirinya diberi pelepasan keluar wad secepat mungkin.

Demi merealisasikan wataknya sebagai Inspektor Khai, Sam turut mengakui dia telah mengosongkan jadual kerjanya selama 15 bulan bagi memberi tumpuan terhadap filem sequel itu.

“Saya siapkan diri selama 15 bulan untuk Polis Evo 2 dan memang saya kosongkan jadual untuk fokus dengan penggambaran filem ini.

“Nak kata saya dibayar mahal sebab itu sanggup tolak job lain, tak juga. Sebaliknya, saya lebih suka buat sesuatu kerja itu dengan beri sepenuh tumpuan agar saya dapat berikan mutu lakonan yang terbaik,” katanya.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan