Hatipah Ibrahim
Ketua Pengarah Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Hatipah Ibrahim meluangkan masa melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Asean+3 Youth Social Business Summit 2018 di Hotel Armada Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan akan giat menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan sosial dalam usaha menyelesaikan masalah sosial di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Hatipah Ibrahim berkata, ini kerana bidang tersebut dapat mewujudkan banyak peluang yang kreatif dan inovatif bagi mencipta pelbagai peluang pekerjaan.

Jelas beliau, secara tidak langsung ia dapat memecah tembok penghalang dunia pekerjaan yang berkaitan kumpulan majoriti dan minoriti.

“Keusahawanan sosial akan menjadi bidang penting pada masa akan datang dalam mewujudkan ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

“Ia juga menjadi platform untuk memacu transformasi sosial dan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Keusahawan Sosial Belia – ASEAN+3 di sini hari ini.

Lebih 60 peserta menyertai persidangan selama tiga hari terdiri daripada 13 negara ASEAN, termasuk tiga rakan dialog iaitu China, Korea dan Jepun.

Hatipah menjelaskan, keusahawan sosial adalah model keusahawanan yang tidak hanya mementingkan keuntungan, malah menekankan pewujudan masyarakat yang berimpak positif dan saksama.

Ujar beliau, biarpun masih dianggap baharu, ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan belia.

”Golongan beliau yang menceburi keusahawanan sosial turut memperoleh manfaat dari segi kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi selain menanam nilai mulia untuk meningkatkan taraf hidup orang lain.

”Dengan peluang yang ada, golongan muda yang mahu merubah hidup perlu didedahkan dengan model perniagaan sosial bagi mewujudkan impak positif dan berkekalan dalam isu membabitkan sosial dan persekitaran,” katanya.

Sementara itu, Hatipah berkata kementerian akan terus menyokong keusahawanan sosial, termasuk menyediakan kemudahan bagi melahirkan usahawan muda dalam sektor itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan