Anggota Penang Forum Dr Lim Mah Hui berkata alam semulajadi telah memberikan isyarat pada minggu lepas apabila 14 batang rasuk konkrit sepanjang 25 meter terjatuh ke lereng bukit tetapi tiada tindakan diambil. - foto facebook Penang Forum
Anggota Penang Forum Dr Lim Mah Hui berkata alam semulajadi telah memberikan isyarat pada minggu lepas apabila 14 batang rasuk konkrit sepanjang 25 meter terjatuh ke lereng bukit tetapi tiada tindakan diambil. - foto facebook Penang Forum

GEORGE TOWN – Penang Forum, gabungan kumpulan masyarakat sivil berkepentingan awam kesal berikutan kegagalan pihak berkuasa mencegah kejadian tanah runtuh hari ini di tapak projek lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus yang setakat ini telah meragut tiga nyawa.

Anggota Penang Forum Dr Lim Mah Hui berkata alam semulajadi telah memberikan isyarat pada minggu lepas apabila 14 batang rasuk konkrit sepanjang 25 meter terjatuh ke lereng bukit tetapi tiada tindakan diambil.

“Kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku di sini tetapi yang pasti ia menunjukkan wujud risiko apabila mengganggu alam semulajadi. Kini kita tahu kapasiti pemantauan kita amat lemah dan ini patut menjadi iktibar kepada kerajaan negeri dan selepas ini mereka tidak boleh lagi kata ia hanya kemalangan di tapak pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di tempat kejadian tanah runtuh itu di Paya Terubong di sini.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan lebuh raya berkembar bernilai RM545 juta di Jalan Bukit Kukus itu yang menghubungkan Paya Terubong ke Relau, mengakibatkan tiga orang maut, seorang cedera dan sekurang-kurangnya sembilan orang tertimbus di bawah timbunan tanah runtuh.

Lim berkata kejadian itu berlaku genap setahun selepas kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Tanjung Bungah yang mengakibatkan 11 pekerja binaan tertimbus.

Bagaimanapun, rakan Lim, Dr Kam Suan Pheng yang merupakan saintis tanah berkata, hakisan tanah di Jalan Bukit Kukus bukan baru berlaku kerana perkara itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa tiga tahun lepas.

Katanya Penang Forum, menerusi kumpulan Penang Hill Watch, platform untuk orang awam mengadu tentang pembersihan hutan secara haram, telah menyerahkan dua laporan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Beliau berkata MBPP memberikan respons dengan menyatakan ia adalah projek pembinaan jalan dan mereka memantau kerja pembinaan itu.

“Jika mereka memantau keadaan, bagaimana kejadian ini boleh berlaku? Tanah di sini terdedah dan menutup tanah itu dengan kepingan plastik tidak akan menghalang hakisan apabila hujan,” katanya.

Penang Forum ialah badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat sivil, antara lain, berobjektif menggalakkan perancangan dan pembangunan mampan, ekonomi adil, pemuliharaan warisan dan kesedaran alam sekitar.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan