KUALA LUMPUR – Misi perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Seoul, Korea Selatan dari 18-20 Okt telah menjana jualan berpotensi bernilai RM1 bilion.

MITI berkata misi perdagangan itu yang diketuai menterinya Datuk Darell Leiking disertai 54 delegasi yang terdiri daripada ahli exco kerajaan negeri Johor, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang serta agensi pelaburan/kerajaan negeri dari Johor, Melaka, Terengganu, Sabah, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

“Sejumlah 137 mesyuarat perniagaan individu telah diaturkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini,

Misi itu juga berjaya memperoleh pelaburan berpotensi bernilai RM711.4 juta daripada empat syarikat yang kebanyakannya tertumpu dalam kepakaran kimia, elektrik dan elektronik dan perkakas rumah.

Syarikat-syarikat itu termasuklah Dongjin Semichem yang merancang melabur RM499.2 juta, Cuckoo Homesys Co. Ltd (RM104 juta), CORE Tech Co. Ltd (RM74.9 juta) dan YoungReem Tech Co. Ltd. (RM33.3 juta).

Menurut MITI, semasa misi itu, Leiking juga bertemu dengan Naib Menteri bagi Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, Cheong Seung-il dan membincangkan pelbagai kerjasama ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

Mereka juga membincangkan potensi kerjasama di bawah Dasar Pandang Ke Timur 2.0 dan bidang industri halal serta sektor teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan perkakas perubatan, kata kementerian itu.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan