Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berucap pada Majlis Pelancaran Program Keselamatan Kanak Kanak Sahabat Bijak Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2018.
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mendapatkan usaha pegawai-pegawai kementerian untuk menjalankan kajian terperinci supaya meringankan berat beg sekolah bermula tahun depan.

Menterinya Dr. Maszlee Malik berkata, langkah drastik itu perlu untuk memastikan anak anak tidak dibebani beg sekolah berat yang perlu ditarik ke sekolah setiap hari.

“Saya tak nak anak-anak jadi seperti pramugari bawa beg berat dan besar, kita juga mahu kurangkan beban para guru yang tidak perlu menjalankan kerja pengkeranian tetapi boleh fokus kepada kerja mengajar murid sepenuhnya tanpa masalah.

“Kementerian Pendidikan juga kini lebih komited dalam usaha memastikan pelajar tidak dibebani dengan masalah beg berat menjelang sesi persekolahan 2019,” katanya semasa berucap di sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) petang tadi.

Pada majlis yang sama, beliau turut merasmikan program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat Bijak Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2018.

Mengulas lanjut mengenai kajian itu, Maszlee memberitahu, satu kenyataan mengandungi perkara lebih terperinci mengenainya akan dikeluarkan sebelum sesi persekolahan 2019 bermula Januari depan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga meminta para ibu bapa memastikan anak masing-masing membaca sebelum tidur pada waktu malam sebagai menggalakkan budaya membaca.

“Dalam pada itu KPM juga akan meningkatkan atau memperbanyakkan bahan pendidikan di media sosial dan akan diviralkan dari semasa ke semasa.

“Selama ini, semua suka berkongsi perkara sensasi dan politik atau kes langgar lari tetapi perbanyakkan dengan ilmu dan bahan bacaan bernilai murni,” katanya sambil menggesa ibu bapa tidak kedekut membelikan bahan bacaan untuk anak anak.

Dalam perkembanga berkaitan beliau menggesa institusi zakat atau baitulmal yang bertanggungjawab menghulurkan bantuan pembiayaan kewangan untuk golongan fakir miskin dengan menambah bantuan berbentuk buku bacaan.

“Harap majlis agama dan pusat zakat seperti Baitulmal selain memberi bantuan makanan kepada asnaf, berilah juga bantuan buku menggunakan duit zakat termasuk anak anak miskin yang bukan Islam sebab mereka juga asnaf.

“Malah pihak berkenaan perlu juga mengambil inisiatif mendirikan perpustakaan di setiap kawasan perumahan rakyat, kuaters tentera, polis dan kediaman anggota bomba.

“Mereka ini bergaji rendah dan mungkin tidak berkemampuan untuk menyediakan bahan bacaan untuk anak anak mereka, dan mendirikan perpustakaan di kawasan mereka akan membantu mereka daripada segi tanggungan pendidikan anak mereka,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan