Mat SAbu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

SINGAPURA – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata Malaysia akan terus mendesak supaya Laut China Selatan dikekalkan sebagai zon yang bebas daripada sebarang persaingan dan peningkatan ketenteraan.

Bercakap kepada Bernama, Mohamad berkata, desakan itu akan terus dilakukan walaupun kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan China memberi jaminan akan menjadikan laluan antarabangsa itu kawasan yang selamat.

Kebimbangan tercetus semula berikutan hampir berlaku perlanggaran dua kapal perang kedua-dua negara itu di Laut China Selatan pada 30 September lalu.

Katanya, saranan untuk mengekalkan Laut China Selatan sebagai kawasan yang aman telah dilakukan sejak daripada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah sekarang di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita mahu negara-negara kuasa besar menghormati Laut China Selatan adalah kawasan aman dan berkecuali,” katanya.

Mohamad yang berada di sini sejak 18 Oktober, mengulangi penegasan hubungan pertahanan yang baik dengan Singapura dalam lawatan pengenalan diri ke republik ini.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama dua hari mulai 19 Oktober.

Mohamad berkata, di forum terbuka, kuasa-kuasa besar ini sentiasa menyatakan mereka menghormati undang-undang perairan antarabangsa namun realiti adalah sebaliknya.

“Itu pengakuan mereka tetapi dalam realitinya kita lihat baru-baru ini hampir berlaku perlanggaran dua kapal perang di Laut China Selatan di kawasan Spratly Island.

“Semua negara ASEAN termasuk Pengerusinya Singapura mengatakan kalau berlaku perlanggaran pada hari itu mesyuarat Menteri Pertahanan (ADMM) mungkin berlainan berlaku. Adakah jadi mesyuarat atau tidak atau mesyuarat nak bincang hal apa,” katanya. – Bernama

Tinggalkan Jawapan