Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bercakap pada sidang mengenai kejayaan polis komersial Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket scam siber dan pinjaman tidak wujud di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya melumpuhkan sindiket scam cinta yang beroperasi di negara ini mensasarkan mangsa di Hong Kong dan Singapura.

Pengarahnya Komisioner Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, hasil perbincangan dengan rakan sejawatan di Singapura dan Hong Kong telah menggerakkan operasi serentak pada 19 hingga 21 Oktober di ketiga-tiga negara tersebut.

Katanya, hasil serbuan polis berjaya menangkap 16 warga tempatan, dua warga Nigeria dan seorang perempuan China berusia antara 29 hingga 60 tahun.

“Operasi serentak pihak berkuasa polis di Singapura menyaksikan penahanan dua ahli sindiket dan 11 ahli sindiket di Hong Kong.

“Kerjasama ketiga tiga negara ini berjaya membawa kepada penangkapan sindiket yang beroperasi di Malaysia didalangi dua lelaki Nigeria tetapi mensasarkan mangsa adalah warga Singapura dan Hong Kong,” katanya dalam sidang media di sini.

Tambah beliau, hasil siasatan awal polis mendapati suspek warga China adalah penterjemah skrip kepada Mandarin untuk memperdaya mangsa dan berjaya menumpaskan 38 kes scam cinta mereka di sini melibatkan kerugian berjumlah RM28 juta.

“Tangkapan ahli sindiket di Hong Kong adalah melibatkan 100 kes scam cinta berkerugian RM54.6 juta dan Singapura pula lapan kes penipuan scam cinta dengan wang berjumlah 450,000 dolar Singapura (RM1.3 juta).

“Kami mendapati keldai akaun bank digunakan secara total untuk aliran wang hasil penipuan scam cinta mensasarkan wanita kesepian.

“Polis ketiga tiga negara sedang bekerjasama rapat untuk melihat rapat pergerakan rangkaian haram ini di Singapura dan Hong Kong,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan