Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas Kelantan membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang disifatkan telah memfitnah kerajaan negeri itu dengan kenyataan kononnya tidak dapat membayar gaji kakitangan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, nampak jelas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu begitu berdendam dengan Kelantan yang ditadbir oleh Pas sejak sekian lama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu, soalan tambahan yang diajukan Ahli Parlimen Pas dari Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan adalah soalan biasa yang tidak mempunyai unsur provokasi langsung.

“Apa yang diutarakan oleh (Ahli Parlimen) Kota Bharu berhubung pandangan kerajaan Pusat jika kerajaan Kelantan dan Terengganu memulakan inisiatif sendiri untuk menyiapkan projek ECRL.

“Tetapi, Menteri Kewangan dengan sinis menjawab, “bagaimana mahu siapkan ECRL jika bayar gaji kakitangan pun tidak mampu?”

“Di dalam Dewan, kami Ahli-ahli Parlimen dari Kelantan menuntut agar Menteri Kewangan menarik balik kenyataannya kerana ia mengelirukan dewan, namun tidak dibenarkan oleh Speaker,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Fadhli, Pas Kelantan minta dibuktikan dengan jelas bilakah negeri itu tidak mampu membayar gaji kakitangannya.

Katanya, jika disebut Kelantan menerima bantuan kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji, perlulah dinyatakan bahawa tidak ada satu pun negeri di Malaysia yang tidak menerima peruntukan di bawah Perbendaharaan Negara.

Beliau merujuk kepada data yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada 27 Oktober 2017 di bawah tajuk Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.

“Dalam Lampiran E di bawah tajuk Pemberian Sebenar Kepada Kerajaan Negeri Tahun 2016, Kelantan dinyatakan telah menerima sejumlah RM397,989,333.

Jika dibandingkan Selangor yang menerima sebanyak RM761,803,058 di bawah peruntukan Perbendaharaan Negara untuk tahun 2016.

“Tidaklah dinafikan kelayakan Selangor menerima peruntukan yang lebih banyak kerana jumlah pemberian tersebut berasaskan kepada keperluan tersendiri termasuk bilangan penduduk.

“Namun, ia mengesahkan bahawa tiada negeri yang tidak menerima wang daripada kerajaan Pusat,” katanya.

Katanya, Johor pula menerima sebanyak RM802,219,813, diikuti Kedah (RM373,288,565), Pahang (RM391,115,129), Sabah (RM1,086,260,027) dan Sarawak (RM1,159,277,479).

Fakta itu, kata beliau, menjelaskan Menteri Kewangan sekali lagi berbohong dan memfitnah Kelantan dalam Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan