Menteri Pendidikan, Maszlee Malik melancarkan buku
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik melancarkan buku "International Alumni of Malaysia" pada Program Meet & Greet bersama Menteri Pendidikan di Kementerian Pendidikan Malaysia, Presint 5, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 22 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Lawatan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan yang membawa delegasi ke London, United Kingdom baru-baru ini tidak menggunakan sebarang dana dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Itu jawapan ringkas yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika memberikan reaksi kepada media mengenai persoalan yang ditimbulkan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Bekas menteri pendidikan itu hari ini menggesa Maszlee memberikan penjelasan berhubung tindakan penasihat khasnya yang dilihat mendahului bidang kuasa menteri apabila membawa rombomngan rasmi ke luar negara.

Dalam kenyataannya Mahdzir berkata, perkara itu dikhuatiri mampu menjejaskan hubungan antara dua negara apabila Malaysia hanya menghantar seorang yang bertaraf penasihat untuk bertemu menteri atau pegawai tertinggi kementerian luar ke negara berkenaan.

Menurut Mahdzir, sikap Wan Saiful itu juga seolah-olah mengambil alih tugas yang sepatutnya dilakukan oleh menteri dan timbalan menteri.

Dalam pada itu, Maszlee turut ‘memulang paku buah keras’ kepada Mahdzir apabila menggesa Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan penglibatannya dalam kes rundingan terus melibatkan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) yang kini masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, Mahdzir perlu menjawab persoalan tersebut kerana kebanyakan rakyat Malaysia mahu tahu bagaimana beliau boleh terlibat dengan rundingan projek solar diesel itu.

“Ramai rakyat Malaysia ingin penjelasan bagaimana beliau boleh terlibat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam memberikan rundingan terus kepada Jepak di Sarawak atas projek solar diesel yang sehingga kini masih menjadi siasatan SPRM.

“Jadi, Mahdzir sila jawab itu dahulu,” ujarnya.

Terdahulu, Maszlee mengadakan sesi dialog dengan kira-kira 100 orang pelajar antarabangsa dari 30 buah negara.

Program diadakan bagi memberi peluang kepada penuntut-penuntut antarabangsa mengenali KPM dengan lebih dekat serta berkongsi pengalaman mereka belajar dan menetap di Malaysia. – MalaysiaGazette

Penting sangat ke nak tengok sistem sekolah penjajah?

Tinggalkan Jawapan