Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin meluahkan rasa terganggu tentang siapakah ‘dalang’ di sebalik kehadiran ‘pengundi hantu’ ketika pemilihan parti itu semalam.

Zuraida yang merupakan mantan Ketua Wanita Kebangsaan PKR berkata, kehadiran pengundi hantu yang bukan terdiri dari cabang dan lebih teruk ada di antaranya juga bukan ahli parti.

“Pengundi hantu ini saya difahamkan telah ditangkap di Petaling Jaya semalam. Sebenarnya insiden ini sangat mengganggu saya. Persoalan yang lahir dalam benak saya sebenarnya siapakah yang bertanggungjawab menghantar kumpulan ini?

“Siapakah dalang dalam melakukan kerja ini? Pekerja parti yang berjaya menangkap mereka yang menyamar sebagai ahli yang bukan dari cabang berkenaan. Ada juga kes ada segelintir bukan ahli parti juga.

“Kita mahu jawatankuasa parti untuk menjalankan siasatan secara meneyeluruh berhubung perkara ini, siapa hantar mereka-mereka ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Beliau yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengulas laporan berita wujudnya pengundi hantu ketika pemilihan PKR semalam menggunakan dokumen palsu di Petaling Jaya semalam.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengeluarkan arahan supaya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Lembaga Disiplin bertindak terhadap pihak yang melanggar ketertiban proses pemilihan parti.

Kata Anwar, tindakan itu harus dibuat terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan.

Dalam pada itu, Zuraida turut mengalu-alukan kenyataan Anwar yang mahu tindakan tegas segera di ambil terhadap induvidu dan kumpulan yang dianggap mencalarkan imej parti selain daripada pelanggaran prinsip Keadilan.

Sementara itu, Zuraida turut menafikan pengumuman kemenangan oleh calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, sebaliknya berkata berkemungkinan besar akan berlaku pemilihan semula parti di Negeri Sembilan dan Melaka.

“Ada sedikit masalah teknikal, saya tidak begitu pasti apa yang sedang berlaku tetapi esok Biro Politik akan memaklumkan kedudukan sebenar. Berkemungkinan ada sedikit masalah teknikal.

“Ada juga jangkaan pemilihan semula akan diadakan di Melaka dan Negeri Sembilan. Pengumuman rasmi akan dibuat selepas siasatan dilakukan,” tegasnya.

Semalam, tiga daripada enam cabang PKR Selangor yang mengadakan pengundian mencetuskan kontroversi dengan kekecohan seperti pergaduhan antara penyokong Azmin dan Rafizi selain daripada kehadiran pengundi hantu.

Bagaimanapun, dalam kenyataan pagi ini, Anwar berkata sebahagian besar proses pengendalian pemilihan parti diselenggara dengan memuaskan.

“Namun masih terdapat beberapa kecelaruan bersabit perlaksanaan sistem biometrik termasuk undi yang tidak dikesan. – MalaysiaGazette