Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama pengasas dan Presiden Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR – Insaf Malaysia, sebuah organisasi bantuan teknikal tanpa
keuntungan mengumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersetuju untuk menjadi penaung kepada organisasi tersebut.

“Timbalan Perdana Menteri menyatakan sendiri kepada saya bahawa adalah tugas kami untuk menjaga kanak-kanak yang memerlukan.

“Kesudian beliau menjadi penaung Insaf Malaysia memberikan cetusan yang besar kepada kami dan menjadi perangsang buat kami untuk terus
menjalankan kerja-kerja kebajikan dan pada masa yang sama menyantuni lebih ramai insan yang memerlukan,” kata pengasas dan presiden Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir dalam satu kenyataan media semalam.

Wan Azizah yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara telah memberikan sokongan beliau terhadap Insaf Malaysia setelah maklum tentang aktiviti-aktiviti kemanusiaan organisasi ini sejak sekian lama yang cukup meninggalkan kesan.

Ditubuhkan pada tahun 2009, organisasi itu menumpukan usaha terhadap menambah baik kehidupan golongan yang memerlukan yang berdepan dengan risiko akibat peperangan, bencana alam, krisis sosioekonomi atau kecemasan kesihatan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Insaf Malaysia telah menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa pelbagai bencana antarabangsa termasuk gempa bumi di Padang pada
tahun 2009, Taufan Haiyan Filipina pada tahun 2013, gempa bumi di Nepal pada tahun 2015, krisis pelarian Rohingya pada tahun 2017, gempa bumi di Lombok serta Taufan Ompong di Filipina pada tahun 2018.

Dengan bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai
dan dana korporat, organisasi itu menyalurkan sokongan perubatan, psikologi pascabencana dan bantuan makanan serta menjalankan pembinaan semua tempat perlindungan.

Dua buah sekolah luar bandar di Nepal telah dibina semula pada tahun ini dan dua buah sekolah lagi telah dijadualkan untuk dibina semula.

Sementara itu, usaha Insaf Malaysia di tanahair tertumpu kepada kebajikan, pendidikan dan bekalan makanan untuk golongan kurang bernasib baik di Malaysia.

251b8b84-3e6a-4652-8262-57851a68def5

Di bawah Program Tampal Rumah, lebih daripada 140 keluarga Orang Asli kini mempunyai rumah-rumah baharu sebagai tempat tinggal dan terbaharu, Ambulans Insaf Malaysia telah dilancarkan untuk memberi
khidmat respons kecemasan melalui penyediaan kemudahan pengangkutan percuma ke hospital untuk golongan miskin dan kurang upaya.

Wan Azizah yang juga merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti menyokong penuh usaha-usaha kebajikan Insaf Malaysia di negara ini.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan