Surat permohonan daripada kerajaan negeri Kelantan.
Surat permohonan daripada kerajaan negeri Kelantan.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melahirkan rasa hairan dan kecewa dengan sikap ‘tidak mengenang budi’ yang ditonjolkan oleh kerajaan negeri Kelantan sejak beberapa hari ini.

Dedah Guan Eng, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meluluskan dana pendahuluan sebanyak RM22.5 juta daripada RM24.5 juta bagi membayar gaji kakitangan negeri tersebut.

Katanya, Kelantan telah menghantar surat permohonan kepada Kementerian Kewangan memohon pendahuluan sebanyak RM97.0 juta bagi menampung aliran wang tunai untuk tahun ini.

“Jadi mengapa mahu fitnah saya? Kononnya saya ini adalah anti Melayu dan Islam? Saya telah meluluskan permohonan sebanyak RM22.5 juta kerana prihatin dengan nasib pekerja di Kelantan ketika itu.

“Sudah tentu apabila seseorang mahu memohon pinjaman dari kita, kita tidak akan bagi kesemuanya apabila diminta. Kita mahu lihat dahulu cara mereka gunakan wang tersebut, kerana itu kita hanya lulus RM22.5 cukup untuk bayar wang pekerja.

“Saya minta kerajaan negeri terutamanya Pas supaya berhenti daripada terus menyebar fitnah dan tegakkan benang yang basah. Saya tidak bohong, saya tunjukkan kepada anda bukti ini. Saya tidak akan tarik balik apa-apa kerana tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen.

Isnin lepas, sesi Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Guan Eng menyoal tentang kapasiti kerajaan negeri Kelantan yang dikatakan berminat untuk mengambil alih projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika dibatalkan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, cadangan itu seolah-olah menjadi bahan ‘ejekan’ Guan Eng kerana beliau menyoal bagaimana pula kerajaan negeri Kelantan mampu berbuat demikian apabila gaji anggota perkhidmatan tidak mampu dibayar oleh mereka.

Dakwa Guan Eng, jika tidak mampu membayar gaji kakitangan mereka bagaimana pula kerajaan negeri Kelantan mampu membiayai projek yang memerlukan kos yang sangat tinggi untuk dilaksanakan.

Ekoran itu, Setiausaha Agung Pas yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu,  Datuk Takiyuddin Hassan mendesak Guan Eng menarik balik kenyataan kerana menyifatkannya sebagai satu penghinaan kepada kerajaan negeri.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan tidak akan menarik balik kenyataannya itu sebaliknya mempersoalkan tindakan ‘lembut’ pemimpin Pas terhadap bekas Najib yang juga pernah menyuarakan seumpama itu terlebih dahulu darinya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga merupakan negeri penghutang ‘terbesar’ kepada kerajaan persekutuan di negara ini tetapi tidak mendedahkan jumlah sebenarnya ketika ini.– MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan