Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Najib Razak bebas bercakap apa yang beliau suka dan terserah kepada orang ramai untuk mempercayainya.

Perdana Menteri memberitahu apa yang penting terdapat bukti untuk mendakwa bekas Perdana Menteri itu.

“Terpulang sama ada mahkamah akan mengatakan bahawa wang itu adalah dari Arab Saudi.

“Ketika orang bertanya beliau boleh bebas berkata namun kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak memberi apa-apa wang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti di Hotel Istana di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Najib yang sering mempertahankan dirinya di laman Facebook miliknya sambil mendakwa beliau tidak bersalah.

Mahathir menambah seluruh dunia sedar mengenai kes Najib sebagai kleptokrasi kerana telah disiarkan di
media asing.

Jelas beliau, jika Najib yakin tidak terlibat rasuah beliau boleh mengambil tindakan ke atas pihak tertentu.

“Namun beliau gagal dan kini telah didakwa berdasarkan laporan tidak hanya daripada media asing tetapi agensi-agensi di negara ini yang bertindak mengesan wang keluar masuk dan pergerakan itu memiliki rekod.

“Anda boleh memindahkan wang dan tidak ada rekod namun kita tahu siapa yang memilikinya.

“Sekiranya ia bergerak masuk ke bank, akan ada rekod apabila anda mengisi cek. Ia dinamakan jejak kertas,” katanya. – MalaysiaGazette