Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap pada Majlis Santai Bersama Najib Razak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap pada Majlis Santai Bersama Najib Razak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR –  Datuk Seri Najib Razak bertegas untuk tidak sesekali meninggalkan parti UMNO atau bertindak menubuhkan sebuah parti lain sampai bila-bila.

Beliau yang juga merupakan bekas Perdana Menteri berkata, darah yang mengalir dalam badannya adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga ke akhir hayatnya kesetiaan beliau hanya untuk parti yang sama.

“Seandainya saya dibenamkan dalam air sepuluh kali sekalipun, saya hanya akan menyebut UMNO. Darah daging saya adalah UMNO dan BN.

“Saya langsung tidak bercadang untuk meninggalkan parti ini apatah lagi ketika menghadapi kesusahan pada masa kini. Persoalan sama ada saya berura-ura untuk menubuhkan parti lain menggantikan UMNO adalah sesuatu tidak akan berlaku.

“Saya telah dididik oleh allayarham ayahanda saya. Saya bukan pencuri. Saya bukan penyangak. Kita akan terus berjuang dengan penyokong seperti anda yang sentiasa setia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan laman laman sosial Facebook beliau ketika sesi sembang dengannya di Pusat Dagangan Dunia Putta petang ini.

Dalam pada itu, Najib turut menyindir segelintir bekas pemimpin UMNO yang bertindak meninggalkan parti itu ketika sedang melalui krisis.

“Kepada yang telah tinggalkan UMNO dan hendak tinggalkan parti, satu sahaja yang ingin saya katakan. ‘selamat tinggal’.

“Kenanglah budi UMNO selama ini ketika anda-anda ini bukan apa-apa. Siapa yang tolong anda dapatkan peruntukan? Jawatan? Mana perginya nilai sayang, budi dan setia kawan anda kepada UMNO? Kenanglah sedikit,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan