SEPANG – Pasukan MotoGP pertama Malaysia, Petronas Yamaha Sepang Racing Team menerima suntikan semangat apabila Yamaha menyuarakan sokongan padu menjelang penampilan sulung pasukan berkenaan dalam Kelas Premier musim depan.

Pengarah Urusan Yamaha Factory Racing, Lin Jarvis berkata kontrak tiga tahun ditandatangani Yamaha dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini akan memberi manfaat dalam persiapan pasukan itu kerana dua watak penting Yamaha – Ramon Forcado dan Wilco Zeelenberg akan menyertai pasukan berkenaan.

Zeelenberg dilantik sebagai pengurus pasukan manakala Forcado, yang kini ketua kru pelumba Movistar Yamaha Racing Team, Maverick Vinales, bakal menjadi ketua kru pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli.

“Kami akan melakukan terbaik bagi membantu pasukan terutama di peringkat awal kerana pasukan ini bermula daripada kosong…peringkat awal ini akan menjadi tugas mencabar.

“Kami bertuah, dua tenaga penting akan menyertai pasukan ini – Ramon Forcado akan menjadi ketua kumpulan bagi pelumba dan Wilco Zeelenberg diberi tanggungjawab selaku pengurus pasukan. Saya merasakan dengan pengalaman ada pada mereka dan sokongan padu daripada Yamaha, mereka boleh melakukan terbaik,” kata Jarvis.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan