ADUN Lenggeng, Suhaimi Kassim
ADUN Lenggeng, Suhaimi Kassim

SEREMBAN – Sesudah enam bulan memegang tampuk selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim tidak menunggu lama membentuk sebuah pertubuhan sebagai pemudahcara untuk meletakkan kawasannya ke tahap lebih dinamik di Negeri Sembilan.

Badan yang dikenali sebagai Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin (BISDEC) itu beroperasi untuk membangunkan landskap baharu di kawasan Lenggeng, sekali gus merealisasikan impiannya menjadikan Bandar Tasik Senangin sebuah Bandar Islam di negeri itu tidak lama lagi.

Bagi Suhaimi, walaupun beliau tidak tinggal di Bandar Tasik Senangin, tetapi yakin dan percaya ia sangat berpotensi untuk dibangunkan.

“Saya lihat pentingnya pembangunan di sini diselia dan selenggarakan sekumpulan penduduk tempatan.

“Orang luar tidak tahu banyak perkara, jadi, saya beri kuasa dan harapan kepada BISDEC supaya fikirkan apa yang terbaik, lepas itu berbincang dengan saya apa keperluan dan sebagainya,” katanya dalam temubual eksklusif dengan MalaysiaGazette di Madrasah Al Barakah, Gedung Lalang, Ampangan, dekat sini.

Kata Suhaimi, beliau berpegang kuat pada firman Allah (Ar-Ra’d:11) bahawa, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”

Berkaitan Bandar Tasik Senangin, menurutnya, beliau melihat pembangunan di situ mesti melibatkan sekumpulan mereka yang prihatin untuk membangunkannya.

“Saya akan menghadiri perjumpaan dengan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) tidak lama lagi untuk berbincang beberapa perkara mengenai pembangunan di DUN Lenggeng dan saya akan minta pihaknya menyelesaikan banyak isu tertangguh di bandar Tasik Senangin.

“Antaranya, masalah dengan pemaju. Sebab itu, konsep saya ialah memberi kuasa kepada penduduk terpilih (BISDEC) untuk sama-sama kita jaga dan buat kerja. Tanggungjawab saya akan mudah sebab mereka (BISDEC) akan selesaikan,” katanya.

Suhaimi yang juga Penasihat BISDEC berkata, beliau menaruh harapan besar pada BISDEC agar penduduk di situ dapat merealisasikan DUN Lenggeng sebagai Bandar Islam.

bisdec
Pertubuhan Pembangunan dan Konsultasi Bandar Tasik Senangin.

BISDEC yang ditubuhkan pada 26 Oktober lalu dibarisi Pengerusi Eksekutif, Mohd Apandi Zainudin; Timbalan Pengerusi Eksekutif, Mohd Sofian Zainal Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif, Rudysham Abdul Raof dan 10 Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang mempunyai pelbagai latar belakang profesional dan kepakaran masing masing.

Bandar Tasik Senangin adalah projek campuran, kediaman dan komersial, yang terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 730.8 hektar, yang menggabungkan lebih 5,000 unit rumah serta pusat perniagaan yang terancang dan lengkap dengan kemudahan awam.

Antara misi BISDEC ialah untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan holistik yang akan membawa Lenggeng ke satu tahap pencapaian yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang, selain menjadi pemacu ke arah pembentukan masyarakat yang berintelek tinggi, bersatu dan setia. – MalaysiaGazette