Wisma Putra
Bangunan Kementerian Luar Negeri

KUALA LUMPUR – Malaysia melahirkan kebimbangan berhubung konflik di Yaman, menggesa semua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata dalam tempoh 30 hari akan datang.

Kebimbangan itu susulan jumlah korban yang semakin meningkat dalam kalangan wanita serta kanak-kanak, selain keselamatan awam.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya berkata, Malaysia menyokong gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres agar semua pihak melibatkan diri dalam rundingan secara jujur.

Menurut Malaysia, satu-satunya penyelesaian berpanjangan kepada krisis di Yaman adalah penyelesaian politik yang terangkum serta damai.

“Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap usaha PBB dalam mencari penyelesaian politik untuk menamatkan konflik di Yaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Malaysia menyertai komuniti antarabangsa dalam menggesa pihak yang berkaitan dengan konflik itu supaya segera mengelak daripada terus melakukan serangan bagi menghormati gencatan senjata itu dan membenarkan akses untuk penghantaran bantuan kemanusiaan.

Malah, Malaysia menggesa pihak bertelagah supaya mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Semua pihak yang terlibat dalam konflik itu perlu mengambil langkah untuk melindungi kanak-kanak, orang ramai, dan harta awam serta membenarkan akses untuk penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mereka yang amat memerlukan bantuan,” jelas kenyataan itu.

Malaysia bimbang dengan konflik berpanjangan dan kerosakan serta kebinasaan ke atas rakyat Yaman.

Setakat Oktober 2018, konflik itu telah menyebabkan 22 juta orang, iaitu kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan penduduk, amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

“Memang tidak dapat diterima bahawa rakyat Yaman berdepan pelbagai krisis, termasuk konflik bersenjata, kehilangan tempat tinggal, risiko kebuluran dan wabak penyakit termasuk taun – mewujudkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan