Mohd Anuar
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir (kiri) menerima cenderahati dari Presiden Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman (kanan) pada majlis Malam Amal Tabung Pendidikan Rohingya di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

BANGI – Usaha untuk memberikan pendidikan kepada golongan kanak-kanak pelarian etnik Rohingya di negara ini tidak wajar dipertikaikan oleh segelintir golongan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana pendidikan merupakan hak asasi manusia dan peluang untuk menimba ilmu harus diberikan kepada semua golongan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

“Peluang harus diberikan kepada anak-anak itu kerana dengan ilmu yang diperolehi dapat membantu apabila kembali semula ke tanah air mereka.

“Bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab memberi pendidikan formal terutamanya kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Tabung Pendidikan Rohingya anjuran Malaysia Relief Agency (MRA) di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir.

Turut hadir, Presiden MRA, Dr Daud Mohd. Sulaiman.

Wan Azizah berkata, kegagalan mendapat pendidikan formal menyebabkan golongan kanak-kanak pelarian terdedah kepada pelbagai situasi yang membimbangkan seperti buruh kanak-kanak, penderaan, eksploitasi dan keganasan.

Tambah beliau, ia juga boleh menyebabkan mereka terus terperangkap dalam kemiskinan, dan tidak berpeluang untuk memperbaiki taraf hidup pada masa akan datang.

Beliau juga percaya warga Rohingya ingin merubah kehidupan walau di mana mereka berada sama ada di bumi Malaysia, Bangladesh dan Myanmar.

“Namun ada kalanya, peluang itu amat sukar diperolehi disebabkan oleh kekangan-kekangan tertentu.

“Sungguhpun begitu, terdapat badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dan sanggup bersusah-payah dalam usaha untuk memastikan hak asasi manusia iaitu peluang mendapat pendidikan dapat disediakan terutamanya golongan kanak-kanak Rohingya ini dapat dibela.

“MRA merupakan badan bukan Kerajaan yang aktif dalam menyediakan peluang pendidikan formal kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini,” katanya.

Wan Azizah menambah, bagi memastikan pembelajaran formal dapat diberikan sebaiknya kepada kanak-kanak ini, sumbangan dana kewangan adalah sangat penting bagi kelangsungan pendidikan kanak-kanak ini.

“Usaha sebegini wajar diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai salah satu usaha membantu merubah nasib kanak-kanak ini.

“Pesanan saya kepada kanak-kanak Rohingya ini, belajarlah bersungguh-sungguh. Rebutlah peluang yang telah disediakan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin supaya menjadi bekal untuk masa hadapan.

“Tidak semua orang mempunyai peluang untuk memperoleh peluang sebegini. Oleh itu, janganlah disia-siakan peluang yang ada. Kelak ilmu yang diperoleh ini pasti dapat memberi manfaat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Daud berkata, penganjuran Malam Amal Tabung Pendidikan Rohingya oleh pihaknya adalah bertujuan untuk memperkasakan Sekolah Komuniti Rohingya (RCS) yang dikendalikan oleh pertubuhan itu.

“Selain RCS yang telah ditubuhkan di Kampung Cheras Baru sejak 2009, MRA tahun ini juga baru menubuhkan RCS di Sungai Petani, Kedah serta mengendalikan sebuah sekolah di kem pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh.

“Jadi dengan tiga komitmen ini, MRA merasakan keperluan untuk mencari dana bagi memperkasakan sekolah-sekolah. MRA anggarkan kos untuk menampung operasi sekolah-sekolah tersebut menelan belanja sekitar RM500,000 setahun,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan