Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap Imran Zakaria, 32, di akhir kes pembelaan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap Imran Zakaria, 32, di akhir kes pembelaan.

GEORGE TOWN – Padah mengedar dadah, seorang subkontraktor pendawaian berdepan episod hitam dalam hidupnya setelah Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah mengedar dadah jenis Heroin dan Monoacetylmorphines, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap Imran Zakaria, 32, di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya Abdul Wahab berkata keterangan tertuduh semasa membela diri yang menyatakan dia hadir ke rumah rakan iaitu Hamid Yaser untuk mencuci rumah adalah diragui kerana tertuduh tidak membawa peralatan mencuci ke rumah tersebut.

“Selain itu terdapat DNA yang membuktikan barangan di dalam rumah yang hendak dicuci itu milik tertuduh seperti berus gigi,” katanya.

Abdul Wahab berkata selain itu terdapat operasi mengilang dadah di dalam rumah terbabit.

Mengikut pertuduhan Imran didakwa mengedar dadah berbahaya itu seberat 548.17gram di Lorong Rajawali 2, Sungai Ara pada jam 10.20 pagi, 28 Nov 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum menurut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin manakala tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki menarik nafas lega apabila dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1504.3gram, dua tahun lalu.

Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Lim Chin Khoon, 36, di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan Lim didakwa atas pertuduhan pindaan mengedar dadah itu di Lorong Tanjung Permai 8, Villa Tanjung Permai, Batu Kawan di sini pada jam 2.20 petang, 26 Ogos 2016.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan