Maszlee Malik
Menteri Pendidikan merangkap Presiden UIAM, Dr. Maszlee Malik bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kali ke-34 di Dewan Pusat Kebudayaan UIAM (ICC), UIA Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2018

GOMBAK – Pelantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah berdasarkan merit dan prestasinya.

Pemilihan Abdul Wahid dibuat selepas mengadakan perbincangan dan mendapat kelulusan daripada pihak tertinggi dalam kerajaan dan universiti, kata Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

“Saya dalam membuat keputusan ada pelan dan melalui perbincangan. Kita buat berdasarkan merit,” katanya ketika mengulas mengenai keputusannya memilih bekas Pengerusi Permodalan Nasional Berhad dalam lembaga pengarah universiti tersebut.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Konvokesyen ke-34 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

MGF17072017_PNB Serah Zakat_04
Abdul Wahid Omar

Semalam, Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin menyindir Maszlee apabila menyatakan kebingungannya terhadap langkah Ahli Parlimen Simpang Renggam itu melantik Abdul Wahid bagi menerajui Lembaga Pengarah UKM.

Dalam tulisannya, A. Kadir mempersoal tindakan Maszlee yang menawarkan jawatan kepada Abdul Wahid yang sebelum ini merupakan bekas Menteri Kabinet Barisan Nasional sebelum menerajui PNB.

Bekas Ketua Pengarang NSTP itu turut membuat andaian sama ada Maszlee membuat keputusan melantik Abdul Wahid ekoran beliau tidak bersetuju dengan penggugurannya dalam PNB.

Bagaimanapun ketika mengulas lanjut mengenai perkara itu Maszlee berkata, beliau menghormati pandangan A. Kadir yang dianggapnya sebagai orang lama dan berpengalaman.

Dalam pada masa sama beliau turut berharap agar tidak ada pihak membuat sebarang rumusan mengenai perkara itu dengan mengikut andaian sendiri. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan