KAJANG – Usul Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengekalkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak perlu kata putus daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana keputusan itu hanya boleh diputuskan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia termaktub dalam kuasa prerogatif sebagai Perdana Menteri.

“Dalam Perlembagaan, keperluannya adalah seseorang yang hendak menjadi PM, perlu mendapat sokongan majoriti.

“Untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, adalah lantikan Perdana Menteri, kalau PM yakin kepada TPM beliau boleh terus pegang jawatan itu,” kata pada sidang media Majlis penyerahan laporan status pelaksanaan 51 syor penambahbaikan PBB di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), hari ini.

Dalam pada itu, Anthony berkata, semua ahli gabungan itu harus menghormati semua keputusan yang telah diputuskan sebelum ini.

Namun, ia terpulang kepada semua perwakilan PKR untuk membuat usul tersebut.

“Kita dalam PH mengormati parti komponen. Kalau itu pendirian mereka, kita hormati.

“Tidak ada keputusan daripada kita minta TPM mesti seorang Presiden parti. Tidak ada syarat macam itu, dalam Perlembagaan pun tak mengatakan bahawa semestinya PM atau TPM mesti Presiden sebuah parti,” katanya lagi.

Semalam, perwakilan Kongres Nasional PKR sebulat suara menyokong usul mengekalkan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun beliau bukan lagi presiden parti itu.

Perkara itu dibentangkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada hari terakhir kongres tersebut. -MalaysiaGazette