Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPURĀ – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan wakil-wakil rakyatnya khususnya ahli Parlimen terlibat dalam komplot untuk membentuk Kerajaan Persekutuan beberapa jam sebelum keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan pada 9 Mei lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, wakil rakyat PKR telah mencapai kesefahaman untuk memilih Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) dan negara sebelum PRU14 lalu.

“Bagi pihak PKR, kita telah menegaskan termasuk dalam kongres parti minggu lalu bahawa kita mendokong sepenuhnya kepimpinan Tun Dr Mahathir.

“Kita akan memberikan sokongannya di atas dasar dan program yang akan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan perdana menteri semalam wujudnya usaha untuk menarik ahli-ahli Parlimen PH khususnya PKR beragama Islam dan Melayu untuk membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu.

Mahathir berkata, usaha itu untuk menghimpunkan wakil rakyat beragama Islam daripada UMNO, Pas dan PH, supaya mereka mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam.

Mohamed Azmin juga menegaskan, beliau tiada butiran mengenai ahli Parlimen PKR mana terlibat dan hanya Dr Mahathir boleh mendedahkan perkara itu.

“Elok dapat penjelasan daripada Tun Mahathir tentang perkara itu kerana keputusan yang dibuat itu hanya satu itu konsensus untuk melantik Tun M sebagai Perdana Menteri

“Proses itu berjalan baik lancar dan saya kira semua pihak bertanggungjawab untuk mendokong konsensus itu,” katanya.

Katanya lagi, wakil-wakil rakyat PKR sudah sepakat menyokong kepimpinan Dr Mahathir dan tidak timbul cubaan untuk mereka menyokong mana-mana pihka termasuk UMNO dan Pas untuk membentuk kerajaan Melayu Islam.

“Pendirian kita jelas bahawa kita mahu beliau memimpin PH dan negara. Alhamdulilah hari ini kita menang dan kita beri semua sokongan supaya pentadbiran lancar dan stabil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette