Temubual bersama Mohd Yusnizal Mohd Yussof atau lebih dikenali sebagai Sony, 43 mahu membuktikan kecacatan bukan penghalang untuk merealisasikan impian. foto SYAHRIL A. KADIR

KUALA LUMPUR – Kemalangan pada hari raya ketiga pada tahun 1999 mengubah kehidupan Mohd Yusnizal Mohd Yussof atau lebih mesra dipanggil sebagai Sony.

Daripada seorang yang ceria, suka berjenaka dan aktif dalam pelbagai aktiviti sukan-riadah, Sony menjadi seperti orang yang tidak mempunyai motivasi diri setelah cacat seumur hidup akibat kemalangan tersebut.

Menurut Sony, beliau hanya tersedar daripada koma selepas sebulan terlibat dalam kemalangan dan mendapati tangan kirinya iaitu daripada bahagian jari sehingga ke bahagian siku telah tiada.

“Saya menangis sehari suntuk kerana tidak dapat menerima apa yang berlaku terhadap diri saya

“Kemalangan itu berlaku setelah motorsikal saya dirempuh sebuah kereta sehingga menyebabkan saya hilang kawalan, terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

” Untuk menyelamatkan diri, saya melompat dari motorsikal namun tangan kiri tersangkut pada pembahagi jalan hingga menyebabkan ia terputus,” jelas Sony.

MGF11122018_SONY_03
Temubual bersama Mohd Yusnizal Mohd Yussof atau lebih dikenali sebagai Sony, 43 mahu membuktikan kecacatan bukan penghalang untuk merealisasikan impian. foto SYAHRIL A. KADIR

Menurut Sony, kemalangan tersebut juga menyebabkan hubungan beliau dengan teman wanitanya terputus sedangkan mengikut perancangan mereka akan mengikat tali pertunangan dalam waktu yang terdekat.

Akibat mengalami tekanan yang keterlaluan, kesnya dirujuk ke Hospital Tanjung Rambutan dan beliau diberikan motivasi serta kaunseling berbentuk ‘Theraphy Diversional’ bagi memulihkan emosinya.

Kini Sony telah pun melangsungkan perkahwinan dan dikurniakan lima cahaya mata.

Mengulas mengenai program Kembara Seribu Selekoh (KSS) di Thailand, Sony berkata pada 13 Disember ini beliau dan beberapa orang rakannya akan cuba ‘menakhluk’ laluan tersebut yang mempunyai 1,864 selekoh selama 15 hari.

mae-hong-son-loop-route-map

Katanya, perjalanan mereka akan bermula di antara Mae Hong Son dan berakhir di Chiang Mai.

Menurut Sony, laluan tersebut memang menjadi idaman para ‘bikers’ dan mereka yang berjaya berbuat demikian akan diberi sijil oleh pihak berkuasa negara tersebut

“Sebelum ini saya sudah menunggang motorsikal secara solo di Songkhla, Thailand selama tiga hari dua malam dari Kuala Lumpur dan ia menjadi tular (viral) apabila kisah perjalanan tersebut dikongsi oleh beberapa bloggers dan kumpulan motorsikal di FB.

“Saya tidak sangka ia mendapat perhatian masyarakat umum sehingga saya mendapat jemputan daripada pelbagai pihak khususnya sekolah-sekolah di Lembah Klang untuk berkongsi pengalaman sebagai ‘penunggang bertangan satu’,” ujarnya.

Sementara itu Muhamad Azni Mohd Nasir yang juga merupakan kenalan selam skuba sejak enam tahun yang lalu, mencadangkan Sony melakukan sesuatu yang lebih mencabar dan memberi impak yang lebih besar.

“Saya melihat Sony mempunyai semangat yang sangat tinggi, beliau sangat tabah mengharungi kehidupan selepas kemalangan yang mengakibatkan beliau kehilangan tangan kirinya. Bukan mudah untuk beliau bangun semula dan menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.

“Oleh yang demikian saya merasa terpanggil untuk membantu beliau dan menubuhkan pasukan khas bagi menjayakan KSS. Ini kali pertama OKU membuat program seumpama ini yang bakal yang mencipta sejarah yang tersendiri,” tegas Azni lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, mereka yang berhasrat untuk mengikuti kisah perjalanan Sony nanti boleh melayari FB Remarkable Mens Ride atau IG remarkable. Beliau boleh dihubungi melalui talian 013-2233533- Malaysiagazette.

MGF11122018_SONY_02
Temubual bersama Mohd Yusnizal Mohd Yussof atau lebih dikenali sebagai Sony, 43 (kanan) dan Azni (kiri) selaku Koordinator KSS bergambar dengan poster program berkenaan. foto SYAHRIL A. KADIR