Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada sidang media khas UMNO mengenai UMNO Sabah di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – MIC akan tetap mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tidak lama lagi.

Menurut Ahmad Zahid, sebagai Pengerusi, beliau mengesahkan bahawa parti komponen BN itu akan meletakkan calon.

“Sebagai pengerusi BN, jawapan saya adalah ya,” katanya di akhir sidang media khas di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Pada 2 Disember lalu, Ahmad Zahid berkata kerusi berkenaan adalah kerusi tetap MIC dan BN amat menghormati isu pembahagian kerusi seperti mana yang dipersetujui dalam konvensyen parti itu sebelum ini.

Penghujung November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu adalah terbatal ekoran berlakunya aktivi rasuah.

Hakim, Datuk Azizah Naqwawi memerintahkan agar Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi kerusi berkenaan.

Pada PRU-14 lalu, Sivarraajh menang dengan majoriti 597 undi.

PRK Cameron Highlands bakal diadakan kerana Sivarraajh tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Malah katanya, keputusan itu sudah dipersetujui kepimpinan BN serta telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC. -MalaysiaGazette