Roger Ng Chong Hwa

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan jaminan yang dibuat oleh bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa kerana tertuduh dikhuatiri akan melarikan diri.

Roger Ng, 51, menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Buat masa ini, lelaki itu sedang direman selama 60 hari ini sementara menunggu perbicaraannya di Mahkamah Sesyen yang dijadualkan pada minggu depan, menurut laporan sebuah portal.

Roger ditahan reman selama 60 hari berkuatkuasa pada 2 November selepas menahannya sehari sebelumnya susulan waran tangkap yang dipohon kerajaan Amerika Syarikat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) perlu menyelesaikan segala urusan berkaitan proses ekstradisi Roger dalam tempoh 60 hari perintah reman yang dikenakan terhadapnya.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memohon waran tangkap ke atas Ng selepas lelaki itu didakwa tanpa kehadiran di mahkamah negara berkenaan berhubung kes 1MDB. – MalaysiaGazette