Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Meskipun dikritik dan dikatakan menjadi punca “penghijrahan” ahli dan pemimpin UMNO daripada parti, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi tidak akan berganjak daripada kedudukannya.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau hanya patuh kepada Peraturan dan Perlembagaan UMNO yang mengatakan kedudukannya hanya boleh ditentukan oleh 2/3 perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas.

Katanya, beliau yakin masih ramai yang mahu terus bersama UMNO walaupun sebagai sebuah parti pembangkang malah percaya sokongan terhadap parti tertua itu semakin kuat.

Menurut Zahid, UMNO akan mengukuhkan kerjasama dengan Pas untuk terus memperjuangkan agenda Islam dan Melayu sambil menghormati kepelbagaian agama dan kaum di Malaysia.

“Ini yang rakyat sangat gembira untuk orang Melayu dan Islam.

“UMNO juga menolak kerjasama dengan DAP dan tidak akan berkompromi dengan agenda yang meminggirkan Islam dan Melayu dilakukan secara halus  atau terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zahid menyeru ahli-ahli UMNO di semua peringkat untuk merapatkan saf dan mengenepikan sebarang perbezaan pendapat dan pendirian demi penyatuan parti.

“Tumpukan untuk menang semula menjadi kerajaan pada PRU15. Kita tumpukan agenda kita. Itu yang lebih baik,” tegasnya.- MalaysiaGazette