25 peserta yang terdiri daripada wartawan pelbagai agensi media dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menjayakan Zamalah Wartawan Malaysia 2018 anjuran MPI di Kuching Sarawak yang menutup tirai di Santubong semalam. - Foto KUMARA SABAPATTY

KUCHING – Para Wartawan disaran supaya mencari kaedah baharu penulisan berita yang berkualiti dan komited dalam menyampaikan isu semasa kepada masyarakat.

Ia merupakan perubahan yang perlu dipraktikkan dalam berita seiring dengan perkembangan dunia digital.

Menurut Pengurus Kanan Editor Borneo Post, Francis Chan, beliau percaya program Zamalah Wartawan MPI 2018 mencapai objektifnya dalam mendedahkan pengamal media kepada cabaran penulisan arah digital yang kini berkembang pesat.

Katanya, suka atau tidak kini wartawan dan agensi media berdepan cabaran getir dunia digital dan mereka bertanggungjawab mencari perspektif baharu dan perlu kreatif agar mampu mampu melangkah ke hadapan.l.

“Kita sedang berada dalam proses pencarian ke arah era pembangunan masa depan yang sedang berlaku hari ini.

“Ia seperti berada di penghujung kolam yang dibaling batu yang mana kita akan basah juga.

“Kita perlu komited cari dan mereka cipta kaedah penulisan baharu yang lebih berkualiti dan pantas, jika tidak akan ketinggalan jauh dari arus pembangunan digital,” katanya yang berucap pada majlis penutup Zamalah MPI 2018 di Santubong, dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Penerangan Sarawak, Ali Suhaili.

Peserta program Zamalah MPI itu turut dibawa melawat ke beberapa destinasi di Bumi Kenyalang seperti Kuching, Batang Ai, dan Santubong yang terkenal dengaqn destinasi pelancongan Kampung Budaya Sarawak yang merupakan muzium hidup suku kaum negeri itu.

Program anjuran Malaysian Press Institut itu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr.Chamil Wariya.

Program yang berlangsung sejak 3 Disember lalu menyaksikan penyertaan 25 orang pengamal media daripada pelbagai agensi berita.

Sementara itu, Francis menggesa media cetak yang menerima kesan ketara daripada media digital  ‘mencipta’ kaedah penulisan baharu bagi menghadapi cabaran semasa.

“Mereka perlu mencari kaedah baharu serta menerapkan reka cipta dalam melaporkan isu semasa kepada rakyat,” ujarnya sambil menambah ilmu yang ditimba peserta sejak dua minggu lalu seperti baik penulisan penyiasatan ataupun rencana diterapkan dalam penulisan harian selepas ini.

Dalam pada itu, bekas Pengarang Kosmo, Datuk Baharom Mahusin yang tampil sebagai moderator pada program berkenaan menjelaskan, ia berjaya mencapai objektifnya dalam menyatukan wartawan pelbagai agensi d ibawah satu bumbung menerusi persahabatan utuh.

Katanya, segala pendedahan mengenai gaya penulisan rencana, penggunaan bahasa yang terbaik, laporan penyiaran, pengetahuan mengenai perlembagaan persekutuan diharap memanfaatkan setiap peserta.

“Objektif MPI adalah untuk membentuk penulis dan wartawan yang berkaliber serta dipenuhi ilmu digital seiring dengan pembangunan negara dan ia akan terus didokong untuk memartabatkan dunia kewartawanan,” katanya.

Wartawan Borneo Post, Sam Chia, 22 yang merupakan peserta termuda kursus berkenaan pula menyatakan keterujaannya mengikuti kursus Zamalah MPI.

Menurut Sam Chia, ia merupakan pendedahan terbaik untuk dirinya yang baru melangkah di dunia kewartawanan untuk terus menzahirkan penulisan isu rakyat secara tepat dan pantas selain mengeratkan keakraban dengan wartawan berpengamalan.

Peserta terbaik program, Nurul Ekhwan dari NSTP pula berpendapat slot setiap penceramah tidak mencukupi dan perlu ditambah pada masa akan datang khususnya memanjangkan tempoh program kepada 3 minggu mulai tahun hadapan.

“Malah tepat dengan istilah Arab ‘Zamalah’ yang membawa maksud persahabatan, kami yang datang sebagai ‘stranger’ dua minggu lalu kini pulang dengan ilmu penulisan dan penyiaran berita serta semangat persaudaraan yang utuh yang bersifat ‘kecindan’ (humours) ,” katanya.

Peserta terbaik wanita dari Utusan Sarawak Fenny Anak Silong pula berpendapat program itu memberi pendedahan yang sangat efektif mengenai pentingnya wartawan mentransformasikan diri ke arah penulisan dalam dunia digital yang kini merentasi sempadan akhbar konvensional.

“Saya sebagai wartawan akhbar cetak tidak boleh lari dari perkembangan pesat digital dan masanya sudah tiba untuk melangkah ke arah digital dengan kaedah penulisan berita yang lebih pantas, berinformasi serta bersifat membina untuk rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette