Reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengaminkan doa pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan akan memangku jawatan Presiden UMNO selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan menyerahkan tugas kepada timbalannya itu Selasa lepas.

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Pengurusan UMNO hari ini.

“Bagi memastikan kelancaran gerak kerja, parti bersetuju untuk Mohamad memangku jawatan Presiden sepanjang Ahmad Zahid bercuti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tugas timbalan presiden akan digalas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku naib presiden paling kanan.

Menurutnya, UMNO kini memberi keutamaan kepada mengukuhkan kepimpinan dan fokus dengan agenda parti.

Ahmad Zahid mengumumkan Mohamad akan menjalankan tugas presiden susulan kemelut yang melanda parti itu. – MalaysiaGazette