KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dijadual menghantar pekerja ke Nagasaki, Jepun akhir tahun ini melalui kerjasama program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, CIDB telah mengadakan pertemuan lanjuan dengan Gabenor Wilayah Nagasaki, Dr. Oishi Kengo semalam bagi tujuan tersebut.
“Pertemuan itu susulan lawatan kerja yang telah diadakan oleh pasukan CIDB tahun lalu, yang bertujuan meneroka peluang menghantar pelatih TVET ke Nagasaki untuk mendalami ilmu yang berkaitan, selari dengan hala tuju Kerajaan MADANI memberi komitmen kepada pembangunan belia dan pertukaran pengetahuan.
“Usaha ke arah kerjasama itu sedang giat dilaksanakan bersama institusi dan agensi berkaitan di Nagasaki dan program membabitkannya dijangka dapat dimuktamadkan melalui Memorandum Kerjasama (MoC) yang dijangka ditandatangani pada tahun ini,” katanya.
Melalui MoU itu, CIDB bersama agensi serta institusi pendidikan kemahiran di Nagasaki akan bekerjasama dalam pertukaran kepakaran teknikal serta latihan membabitkan kedua-dua pihak terutama dalam sektor pembinaan dan perkapalan.
Pertukaran teknologi juga akan diperkemaskan melalui kerjasama tersebut antara lain memberi tumpuan penggunaan teknologi moden dalam kerja kimpalan dan pengendalian jentera berat.
“Saya berharap kerjasama ini dapat dilaksanakan dengan lancar, dan menjelang suku keempat tahun ini, kita berhasrat memulakan penghantaran pekerja ke Nagasaki, dengan sasaran awal sebanyak lima hingga 10 individu setiap kumpulan, bergantung kepada permintaan.
“Dalam perbincangan bersama Dr Oishi semalam, kami bersetuju bahawa banyak limpahan manfaat dapat dihasilkan melalui kerjasama ini, terutamanya dalam membantu menyediakan latihan vokasional untuk pekerja berkemahiran serta
mengembangkan lagi pembangunan tenaga kerja.
“Ia juga akan menjadi satu usaha perkongsian kemahiran dan teknologi yang bermakna bagi kedua-dua negara serta merapatkan hubungan dua hala MalaysiaJepun, seterusnya memberi faedah kepada ekonomi masing-masing dan menyumbang kepada kemajuan global bidang TVET,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KKR (Sektor Dasar & Pembangunan) Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Datuk Ir. Badioezaman Ab Khalik, Ketua Eksekutif CIDB Datuk Sr. Mohd Zaid Zakaria dan Ketua Pengarah LLM Datuk Ir Sazali Harun.-MalaysiaGazette