TERKINI : Pemimpin UMNO Lompat Parti Kena Ukur Baju di Badan Sendiri

Ahli-ahli UMNO yang ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu sedar diri sekiraya merasakan langkah mereka lompat parti bakal menjanjikan jawatan atau kontrak peribadi.

Teguran itu dibuat Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut beliau, pemimpin UMNO yang berfikiran demikian sebenarnya telah tersasar kerana mereka tidak akan mendapat apa-apa sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Malah, apa yang paling penting katanya, perkara utama perlu mereka lakukan ialah memohon maaf kepada rakyat dan pemimpin Bersatu yang pernah mereka perlekehkan sebelum ini.

“Saya tengok mereka ini macam tiada rasa bersalah langsung. Sedar diri sikit, bermuhasabah diri sikit, ukur baju di badan sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.