Tun Dr Mahathir hanya sempat meluangkan masa beberapa jam sahaja untuk menghadiri satu persidangan mengenai Afrika di sini pada Khamis, tetapi dalam masa yang singkat itu beliau sempat mencurahkan pelbagai ilmu dan pandangan mengenai tadbir urus dan pembangunan yang terbukti berguna untuk negara-negara Afrika.
Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, Kabinet telah mengambil keputusan berhubung projek berkenaan namun terdapat perubahan yang perlu dibuat menyebabkan rundingan lanjut dengan pihak-pihak tertentu masih belum dapat diselesaikan.

DAKAR  – Tun Dr Mahathir hanya sempat meluangkan masa beberapa jam sahaja untuk menghadiri satu persidangan mengenai Afrika di sini pada Khamis, tetapi dalam masa yang singkat itu beliau sempat mencurahkan pelbagai ilmu dan pandangan mengenai tadbir urus dan pembangunan yang terbukti berguna untuk negara-negara Afrika.

Perdana Menteri Malaysia itu telah mengemukakan pandangannya pada Persidangan Antarabangsa kali ketiga Mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) dengan memberi pelbagai panduan mengenai bagaimana hendak memajukan sesebuah negara, dengan memberi contoh-contoh dari Malaysia sendiri.

“Satu perkara dalam memajukan sesebuah negara ialah anda perlu mengkaji kemajuan yang telah dicapai oleh negara lain. Dalam kes Malaysia, kita mempunyai Dasar Pandang Ke Timur untuk belajar dari Jepun, Korea Selatan selain China. Dulu, kami pun sering belajar dari Eropah.

“Adalah penting untuk mencari model yang boleh ditiru untuk mempercepatkan proses pembangunan, ialah antara nasihat beliau kepada negara-negara Afrika,’’ katanya kepada wartawan Malaysia di sini sebelum mengakhiri lawatan beliau ke Senegal pada 16-17 Jan untuk menghadiri persidangan tersebut sebelum berlepas dengan penerbangan ke London.

Dr Mahathir, 93, diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua kerajaan dari Asia yang dijemput untuk menghadiri persidangan itu pada 17-19 Jan bertemakan “Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman”.

Pada persidangan di Dakar itu, Dr Mahathir turut mengambil bahagian dalam panel perbincangan peringkat tinggi yang turut dihadiri Presiden Senegal Macky Sall dan Presiden Ibrahim Boubacar Keita dari Mali, selain segmen yang melibatkan sektor swasta sebagai enjin penggerak kemunculan.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh perdana menteri ialah pentingnya mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk membolehkan negara mencapai kemajuan, kerana katanya, kestidakstabilan politik boleh mengganggu proses itu.

Beliau turut menekankan akan pentingnya kerjasama rapat antara kerajaan dan sektor swasta, dan berkata kerjasama seumpama itu telah membolehkan Malaysia membangun dengan sangat cepat.

“Tidak salah untuk kerajaan bekerjasama dengan sektor swasta, membantu sektor swasta berjaya supaya mereka boleh membuat untung besar, wang yang banyak kerana sebahagian daripadanya akan dipulangkan juga kepada kerajaan,” hujah beliau menangkis pandangan berbeza mengenai konsep tersebut.

Pada majlis perasmian persidangan itu satu perutusan dalam bentuk rakaman video oleh Dr Mahathir telah ditayangkan di mana beliau berkata perkara paling penting untuk mengubah ekonomi sesebuah negara ialah kestabilan dan tadbir urus yang baik.

Sejurus selepas ketibaan beliau di Dakar dua hari lepas, Dr Mahathir telah dibawa ke Istana Presiden untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Sall yang memfokus kepada usaha-usaha merapakan hubungan antara Kuala Lumpur dan Dakar.

“Kita perlu mempunyai hubungan lebih erat bukan sahaja dengan Senegal tetapi juga negara-negara Afrika yang lain kerana buat hampir 15 tahun kita kurang memberi perhatian kepada Afrika (di bawah pentadbiran terdahulu),” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia.

Dr Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun sebelum beliau meletak jawatan pada 2003. Beliau kembali menerajui kerajaan selepas gabungan parti Pakatan Harapan yang dipimpinnya memenangi pilihan raya umum pada tahun lepas.

Afrika, kata beliau, telah banyak mencapai kemajuan dengan negara-negara seperti China dan Turki menjadi rakan dangangan dan pelaburan mereka yang penting.

“Ini menunjukkan bahawa Afrika juga mempunyai potensi yang banyak tetapi kita mestilah berusaha untuk kenal pasti keperluan Afrika dan kenal pasti barangan Afrika yang boleh kita import dan barangan kita yang boleh dijual di sini,” kata Dr Mahathir.

Sambil menyatakan bahawa beliau ingin melihat lebih banyak syarikat Malaysia datang ke Afrika dan ke mana sahaja, perdana menteri berkata: “Kita sepatutnya adalah sebuah negara perdagangan, negara perdagangan memerlukan pasaran. Jika anda tidak tahu pasaran anda, anda tidak boleh menjual apa pun.

“Jadi penting bagi orang kita dan perwakilan diplomatik kita untuk mengenal pasti bidang-bidang untuk mengadakan kerjasama dan perdagangan antara Malaysia dan negara-negara berkenaan.”

Beliau turut berkata pemimpin-pemimpin Afrika yang saya kenal dulu sudah tidak ada lagi atau sudah tidak jadi pemimpin lagi. Yang saya jumpa ialah pemimpin baharu namun mereka nampak tahu tentang Malaysia dan memandang Malaysia sebagai satu model yang baik dan mereka ingin belajar dari Malaysia.

Perdana menteri berkata ini tidak termasuk Malaysia dalam tempoh 15 tahun lepas.

“Kalau model tu you guna, you tahulah apa jadi,” katanya yang merujuk kepada tempoh negara menghadapi pelbagai masalah.

Mengenai perkara lain, beliau berkata inisiatif Kerjasama Selatan-Selatan dan Dialog Langkawi mungkin boleh dihidupkan semula.

“Namun waktu ini kita sibuk memperbaiki keadaan dalam negara,” kata beliau.

— BERNAMA