Selasa ini akan menjadi hari penentuan bagi keputusan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selasa ini akan menjadi hari penentuan bagi keputusan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipercayai menderita sakit bahu selepas kecederaan teruk akibat kemalangan beberapa tahun lalu dijangka menjalani pembedahan ‘arthroscopic’ pada 12 November ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut anak perempuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Nurul Nuha Anwar, bapanya akan dimasukkan ke HKL esok bagi menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum pembedahan tersebut.

Nurul Nuha berkata, Anwar telah menderita sakit bahu kanan sejak kemalangan kereta beberapa tahun lepas namun kesakitan itu bertambah teruk apabila sekali lagi terlibat dengan kemalangan kereta ketika diiring kembali ke Penjara Sungai Buloh pada 22 September lepas.

“Sejak itu sakitnya bertambah parah. Pembedahan jenis ‘arthroscopic’ ini dapat melegakan kesakitan itu.

“Pembedahan ini amatlah rumit dan penjagaan selepas pembedahan yang betul amat diperlukan, dan kami mempunyai kepercayaan penuh terhadap para doktor HKL untuk menjalankan pembedahan ini dengan penuh profesionalisme,” katanya dalam sidang akhbar di rumah mereka di Segambut hari ini.

Sebelum ini, pada 22 September lepas, kenderaan yang membawa Anwar dilanggar kenderaan pengiring dari belakang.

Kemalangan berlaku ketika kenderaan pengiring tersebut dikatakan gagal berhenti lalu melanggar kenderaan yang membawa Anwar yang telah berhenti untuk mengelak perlanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Anwar ketika itu sedang dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh setelah di HKL selama empat malam untuk rawatan tekanan darah yang tidak stabil serta kesakitan berkait kecederaan di bahu beliau.

Justeru itu, keluarga Anwar menggesa kerajaan untuk memenuhi tiga permintaan daripada mereka. Antaranya, kerajaan memberi jaminan bahawa semua rawatan perubatan yang diperlukan Anwar akan diberi tanpa sebarang campur tangan.

Kedua, Anwar diberi akses sepenuhnya kepada kemudahan-kemudahan pemulihan di hospital memandangkan akses kepada kemudahan-kemudahan tersebut cukup terhad untuk penjagaan selepas pembedahan di Penjara Sungai Buloh.

Ketiga, mereka berharap agar membenarkan badan-badan hak asasi manusia bertemu beliau untuk memantau keadaan sepanjang pembedahan dan pemulihan selepas pembedahan.

Selain Nurul Nuha, sidang media hari ini turut dihadiri anak perempuan Anwar yang lain iaitu Nurul Ilham Anwar dan Nurul Iman Anwar. – MalaysiaGazette