Kredit: Malaysian Hockey Federation

KUALA LUMPUR – Kejayaan muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s selepas tunduk kepada Belanda 2-5 semalam, merupakan pencapaian tertinggi bagi sukan hoki Malaysia.

Ketua jurulatih skuad Hoki 5 sebelah (5s) lelaki kebangsaan Wallace Tan berkata anak buahnya telah mengerah segala usaha pada aksi final kejohanan berlangsung di Muscat, Oman itu, namun terpaksa akur dengan kehebatan Belanda selaku juara Eropah.

“Untuk pentas Piala Dunia, ini merupakan satu pencapaian tertinggi dan terbaik untuk hoki Malaysia. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada pasukan kami,” katanya dalam satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada media.

Justeru, Wallace berharap peminat sukan tanah air terus memberikan sokongan padu kepada skuad hoki negara selepas ini biarpun kempunan meraih gelaran juara di Oman.

Malaysia memulakan kempen peringkat Kumpulan D dengan keputusan seri 3-3 bersama tuan rumah, Oman sebelum mencatat dua kemenangan masing-masing mengatasi Amerika Syarikat 3-2 dan Fiji 8-3 bagi mengesahkan slot ke suku akhir.

Skuad kebangsaan yang bergelar naib juara Kumpulan D kemudian menumpaskan juara Kumpulan C Trinidad dan Tobago 5-4 di peringkat suku akhir sebelum mengesahkan kemaraan ke final dengan mengatasi Poland 4-3 pada aksi separuh akhir. – BERNAMA