Sebuah pusat hiburan haram tanpa lesen yang menjalankan aktiviti tidak sihat selain menyajikan pelayan wanita GRO warga Vietnam dan Laos dilumpuhkan dalam Ops Pematuhan SOP PKP IPD Cheras di Taman Shamelin Perkasa malam tadi.- Gambar Ihsan D7 IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Kegiatan sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen kini semakin mencabar pihak berkuasa.

Sudahlah mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP) premis berkenaan juga menawarkan khidmat pelayan wanita (GRO) warga asing kepada para pelanggannya.

Bertindak atas maklumat berkaitan, sepasukan polis pasukan D7 dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Cheras menyerbu premis berkenaan di Taman Shamelin Perkasa semalam.

Serbuan dilakukan pukul 10.20 malam itu mendapati premis berkenaan melanggar SOP dan juga tidak mempunyai lesen, kata Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar.

Polis juga menahan lebih 12 orang individu yang berada di dalam premis hiburan itu.

“Antaranya seorang lelaki tempatan atas kesalahan terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian dan dua lelaki warga Bangladesh atas kesalahan menjalankan pusat perniagaan hiburan dan bekerja tanpa mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Dalam serbuan sama, polis turut mencekup sembilan wanita asing iaitu dua warga Laos dan selebihnya Vietnam atas kesalahan bekerja sebagai GRO  tanpa dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Idzam, dalam pemeriksaan sama,  polis merampas seunit telefon bimbit jenama Iphone XS, seunit Class H Professional Power Amplifier Jenama Musica Pro Audio, seunit Professional Sound Jenama Vanace TK 1500, Audio Technik MA 2600 2.5, satu unit Wireless Microphone Receiver jenama Karru 2.6, mikrofon tanpa wayar berjenama, seunit Digital Audio Recorder CCTV jenama Ajhua dan akhirnya seunit Power Card Reteine Jenama D-Link.

Menurut beliau kesemua suspek ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Semasa pemeriksaan Op Pematuhan SOP PKP Penuh Covid-19, pasukan pemeriksaan turut mengeluarkan kompaun ke atas sembilan lelaki tempatan kerana terlibat dengan aktiviti terlarang iaitu aktiviti hiburan dalam tempoh PKP.

Daripada kesemua 12 orang ditahan, enam lelaki tempatan, seorang lelaki Bangladesh dan lima wanita Vietnam didapati positif dadah daripada hasil ujian saringan awal air kencing dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua tangkapan telah ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan, Kuala Lumpur dan lokap Balai Polis Salak Selatan Baru, Kuala Lumpur dan mereka kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk melengkapkan siasatan.

“Kertas siasatan lengkap nanti akan diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut dengan cadangan pendakwaan di Mahkamah,” tegasnya.- MalaysiaGazette