Nadiputra
Operasi bas Nadiputra meliputi tujuh laluan sekitar Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan bas henti-henti Nadiputra akan mula beroperasi di bawah kendalian Rapid Bus Sdn Bhd pada 1 Januari ini, meliputi tujuh laluan sekitar Putrajaya.

Perbadanan Putrajaya (PPj) berkata, operasi bas tersebut bermula dari pukul 6.30 pagi hingga 8 malam pada Isnin hingga Jumaat manakala operasi pada Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am bermula dari pukul 7 pagi hingga 8 malam.

“Kadar tambang sebanyak RM1 sehala untuk enam laluan manakala satu laluan iaitu laluan P101 (Kompleks F – Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah – Persiaran Perdana – Presint 5) adalah percuma.

“Pembayaran tambang secara tanpa tunai menggunakan kad Touch n Go. Diskaun kadar tambang layak dimohon oleh golongan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar,” kata perbadanan tersebut dalam hantaran Facebook, hari ini.

Enam lagi laluan adalah P102 (Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 – Presint 11), P103 (Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 14), P104 (Dataran Gemilang, Presint 4 – Presint 5), P105 (Dataran Gemilang, Presint 4 – Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1), P106 (Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 – Presint 16 – Wisma Kementerian Belia dan Sukan) dan P108 (Terminal Putrajaya Sentral, Presint 7 – Presint 9 – Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1).

Maklumat berkenaan operasi perkhidmatan bas henti-henti dan laluan boleh didapati di laman sesawang www.myrapid.com.my, Facebook: @myrapid, Talian Bantuan: 03-7885 2585 atau emel: [email protected].

Sementara itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin menghargai inisiatif PPj itu dan menganggap perkhidmatan tersebut akan membuka lembaran baharu dalam penggunaan pengangkutan awam di pusat pentadbiran negara berkenaan.

“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan PPj bagi memastikan yang terbaik untuk seluruh warga Putrajaya dan pengguna perkhidmatan yang lain,” jelasnya.

Beliau turut mengalu-alukan pandangan daripada warga Putrajaya untuk penambahbaikan perkhidmatan bas Nadiputra, khususnya apabila operasi dimulakan nanti. – MalaysiaGazette