Pemberhentian tugas (shutdown) Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong esok terpaksa dilakukan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas.

Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd Amin berkata, henti tugas itu terpaksa dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka dapat dibuat dengan selamat di PMU di Kuala Selangor itu.

Menurut Mohd. Aminuddin, kerja-kerja yang dijadualkan selama 16 jam itu tidak boleh ditangguhkan lebih lama lagi.

Terkini, situasi peralatan di PMU berkenaan semakin meruncing di mana sebarang penangguhan akan memberi kesan kepada bekalan elektrik dalam tempoh yang lama.

“Pemeriksaan secara fizikal, termasuk imbasan haba (thermal scanning) pada 15 Disember lalu mendapati ada dua titik panas (hot spots) yang memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan kerosakan besar berlaku kepada peralatan di PMU.

“Sekiranya kerja-kerja yang dijadualkan ditangguhkan lagi, kemungkinan percikan arka (flashover) berlaku bila-bila masa dan kerja-kerja baik pulih peralatan di PMU akan mengambil masa hingga tiga minggu.

“Semestinya kerja-kerja senggaraan ini telah menjadi satu kecemasan dan risiko yang amat merunsingkan kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Aminuddin juga menjelaskan pemilihan tarikh tersebut dibuat secara keputusan kolektif dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh Surahanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Mesyuarat pada 31 Oktober 2016 itu telah dihadiri wakil dari sektor air antaranya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) selain TNB.

Kerja-kerja itu pada asalnya dijadualkan pada 27 September 2016. Namun, pihak sektor air yang terlibat memohon ianya ditangguhkan.

“Kami akan memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut perancangan dan pelan kontingensi yang dipersetujui semua pihak yang terlibat,” katanya lagi.

Tambah beliau,walaupun henti tugas PMU Bukit Badong akan menyebabkan gangguan kepada loji-loji rawatan air utama ke kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, bekalan elektrik kepada pengguna lain di sekitar PMU berkenaan tidak terjejas kerana elektrik akan disalurkan menerusi set janakuasa bergerak.

“Kapasiti voltan set janakuasa bergerak pula tidak serasi (incompatible) dengan voltan loji-loji rawatan bagi membolehkan elektrik disalurkan,”jelasnya.- MalaysiaGazette