Home Ekonomi Ringgit diramal berlegar RM4.45 berbanding dolar

Ringgit diramal berlegar RM4.45 berbanding dolar

KUALA LUMPUR- Ringgit dijangka berkisar sekitar 4.45 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dengan faktor luaran terus mempengaruhi pergerakan unit tempatan itu, kata peniaga.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, dengan pemulihan harga minyak, ringgit serta mata wang lain akan mendapat rangsangan, kerana minyak adalah satu daripada sumber pendapatan utama negara.

“Kami percaya ringgit akan stabil dan kukuh berikutan asas-asas ekonomi Malaysia yang mantap, di samping peningkatan harga komoditi seperti getah dan minyak sawit,” katanya kepada Bernama.

Katanya, orang ramai kini menunggu mesyuarat Rizab Persekutuan AS untuk langkah seterusnya dalam pasaran pertukaran asing berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit diniagakan pada 4.4710/4740 berbanding dolar AS Jumaat lepas daripada 4.4845/4875 minggu lalu, tetapi ditutup keseluruhannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1176/1213 daripada 3.1043/1085 Jumaat lalu dan turun kepada 3.8550/8586 berbanding yen daripada 3.8375/8411 minggu lepas.

Berbanding pound Britain, ia susut kepada 5.5373/5428 daripada 5.5213/5259 sebelum ini tetapi meningkat kepada 4.7388/7438 berbanding euro daripada 4.7482/7523 Jumaat lalu. – MalaysiaGazette