Anuar Zain
KUALA LUMPUR – Penyanyi Anuar Zain terpaksa membatalkan persembahannya pada Konsert Yonder Music Live Series By The Lake – Anuar Zain & You di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana malam ini akibat kehilangan suara.

Anuar atau Shahrul Anuar Zain, 47, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak pada awal pagi ini berkata, keputusan itu dibuat selepas akur dengan nasihat daripada doktor yang mengarahkannya berehat.

“Saya memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat di atas situasi yang tidak dapat diduga ini. Ia merupakan satu keputusan yang amat sukar dilakukan.

“Diharap anda semua dapat mendoakan kesihatan saya,” ujar Anuar  yang  dijadual mendendangkan 14 lagu popularnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yonder Music, Adam Kidron turut melahirkan rasa kesal atas pembatalan konsert itu.

Pihak kami difahamkan Anuar telah kehilangan suaranya semalam dan dinasihatkan agar tidak meneruskan konsert seperti yang direncanakan.

“Biarpun ia amat mendukacitakan pihak kami dan peminat, namun kami perlu mengutamakan kesihatan beliau. Semoga beliau cepat sembuh. Beliau sememangnya seorang yang Hear Forever dalam hati kami semua,” ujar Adam.

Menurut kenyataan itu, segala informasi terkini terutama mengenai tiket akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Tiket menyaksikan persembahan itu dijual pada harga antara RM388 hingga RM888.- MalaysiaGazette