Reen Rahim

KUALA LUMPUR – Gara-gara tertekan apabila seorang individu mencuri gambar dan video daripada telefon bimbitnya, pelakon Reen Rahim tampil membuat laporan polis.

Reen, 27, membuat laporan di pejabat polis di Damansara, Petaling Jaya pada 6 Febuari lalu bagi mengelak kejadian tidak diingini atas nasihat pihak pengurusan.

Namun apabila ditanya apa kandungan video tersebut kerana individu itu mula mengancam untuk mengaibkannya, Reen enggan mendedahkan.

“Semua orang ada video pelik dalam telefon masing-masing,” katanya yang membuat sidang akhbar khas  ketika ditemui pada sidang pratonton Soulmate hingga Jannah di Damansara, Petaling Jaya semalam.

Reen atau nama asalnya Noreen Ashikin Abdul Rahim sambil bergenang air mata memberitahu dia kesal kerana individu terbabit menyalah gunakan kemesraan hubungan mereka yang diibaratkan seperti kakak dan adik sebagai senjata untuk mengkhianati dirinya.

Keakraban Reen bersama individu yang dikenali sejak lima tahun lalu bermula apabila wanita itu mula menawarkan diri untuk memegang jawatan penting dalam kelab peminatnya.

Biarpun pernah mendengar pelbagai kisah buruk membabitkan individu terbabit daripada beberapa rakan artis lain, Reen sebaliknya mengamalkan sikap tidak mudah melatah terhadap perkara itu.

Malah, Reen mengakui ‘melakukan’ kesilapan besar apabila memberi kepercayaan penuh kepada individu terbabit untuk mengakses akaun media sosial dan telefon bimbit miliknya.

Jelas Reen, keputusan membuat laporan polis itu adalah antara langkah yang dirasakan terbaik setelah individu terbabit mulai mengancam untuk mengaibkannya dengan perkara yang lebih memalukan.

“Dia telah mengugut untuk menyebarkan gambar dan klip video yang diperoleh daripada telefon bimbit milik saya,” ujarnya.

“Walaupun tidak pasti isi kandungan yang dimaksudkan, tetapi jika ada yang tersebar mudahlah saya merujuk ia angkara si polan berkenaan,” katanya.

Kata anak ketiga daripada empat beradik itu, dia kalau boleh tidak mahu memanjangkan lagi perbalahan yang telah tercetus sebaliknya menyelesaikan dengan cara berhemah. – MalaysiaGazette