Sairin Karno (tengah) menerima cenderahati daripada Pegawai Risda Keningau, Ahmad Zharif Arbi. selepas perasmian Program Kasihi Pekebun di Kampung Banjar, Keningau hari ini.

KENINGAU – Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) tidak perlu diadakan lebih awal bagi memberi ruang kepada Barisan Nasional (BN) melaksanakan projek-projek yang dijanjikan pada pilihan raya umum yang lalu.

Walaupun secara dasarnya semula jentera BN sudah bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya, namun tidak ada keperluan untuk ia dipercepatkan.

Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno berkata, masih banyak janji pilihanraya yang belum ditunaikan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan (BN) dalam proses menunaikan janji-janji pilihanraya lalu dan ia mengambil sedikit masa untuk diselesaikan sepenuhnya.

Beliau bagaimana pun mengakui bahawa PRU14 akan berlaku pada tahun, tetapi sebaiknya tidak diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Sebaiknya kata beliau, PRU14 diadakan selepas musim haji pada tahun ini.

“Jika ini berlaku, maka kita mempunyai kira-kira enam atau tujuh bulan lagi,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Program Kasihi Pekebun anjuran RISDA daerah Keningau di Kampung Banjar di sini hari ini.

Lagi pula kara Sairin, Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA pada tahun ini yang merupakan acara mega negara yang mana ia perlu dilangsungkan terlebih dahulu sebelum PRU14. – MalaysiaGazette