Kongsi
Nik Abduh gagal meneruskan kesinambungan pemerintahan arwah ayahandanya.

NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa?

Mulanya saya tidak percaya dan anggapnya sebagai mainan keyboard warrior upahan pihak tertentu dengan tujuan hendak memalukannya.

Selepas buat semakan termasuk hubungi beberapa rakan terdekat dalam Pas, jawapan yang saya terima, berita yang ditular itu adalah benar. Bukan palsu dan bukan juga sengaja dibuat-buat.

Berdegup jantung saya dengan pengesahan itu. Dalam hati mula timbul persoalan dan seribu satu tanda tanya. Antaranya, apa bala dan apa gerangan pula yang bakal berlaku dalam Pas kali ini?

Tidak cukupkah lagi golongan profesional dan liberal disingkir habis-habisan pada pemilihan jawatankuasa 2015 sehingga tidak ada seorang pun baka Mat Sabu tertinggal? Dan kini zuriat arwah tok guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menerima nasib malang?

Adalah mustahil dan tidak masuk akal sama sekali, Nik Mohamad Abduh yang menang besar dalam perebutan jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia pada pemilihan tahun 2015, tetiba kalah teruk bagi perebutan jawatan di peringkat kawasan untuk penggal 2017-2019.

Kalau kalah tipis tak apa juga masih boleh diterima akal lagi. Tapi kalau dia hanya dapat 37 undi dan penyandang yang dicabarnya perolehi 207 undi, ini dah dikira kalah teruk.

Kalau dalam perlawanan tinju, dia tumbang kerana terkena tumbukan padu, TKO dari lawannya.

Apakah ini satu amaran dari akar umbi kepada pemimpin atasan Pas yang lain? Atau keputusan ini hanya untuk Nik Mohamad Abduh sahaja?

Saya tidak mahu buat spekulasi yang bukan-bukan pasal kekalahan ini, walau jauh dalam sudut hati saya kuat mengatakan semua ini ada kena mengena dengan beberapa kenyataan Nik Mohamad Abduh sebelum ini mengguris perasaan kepimpinan akar umbi.

Sebelum ini, terutama di era arwah ayahandanya masih ada, Nik Mohamad Abduh antara anak muda yang cukup dihormati akar umbi parti. Tengok susuk tubuhnya, teringat akan gemulah tok guru sepanjang memimpin Kelantan sebagai Menteri Besar dan parti sebagai Mursyidul Am.

Bahkan, ramai meramalkan dia adalah pengganti yang bakal meneruskan legasi ayahandanya yang paling sesuai dan tepat. Dialah juga dianggap sebagai benih paling baik dari keturunan arwah tok guru dan juga baka arwah datuknya, Allahyarham Nik Mat.

Sebab itu, diawal penglibatannya dalam Pas, apa sahaja jawatan yang dia pertandingkan, dia menang.

Atas dasar itu juga, dia diberi kepercayaan oleh akar umbi untuk menerajui sayap parti pada tahun 2015. Dalam pertandingan itu dia mengalahkan penyandangnya, saudara Suhaizan Kayat dengan majoriti yang sangat besar.

Suhaizan disingkirkan oleh para perwakilan Pas pada muktamar tahun itu kerana proses pembersihan besar-besaran parti dari golongan profesional dan liberal. Kebetulan Suhaizan termasuk dalam golongan itu.

Sebelum itu, atas tubuh badannya yang mirip tok guru, dia dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Kepimpinan pusat meletakkan dia bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas.

Dalam pertandingan itu dia menang dengan majoriti besar. Lawannya, Datuk Ibrahim Ali dari calon bebas, kalah. Kemenangan itu juga mengakhiri kemarau dendam Pas kepada Ibrahim yang pernah guna lambang Pas pada PRU-12, tetapi selepas itu lantang mengkritik tok guru.

Sejak menang dua jawatan itu, Nik Mohamad Abduh mula dilihat leka di ibu kota. Banyak masa harian, mingguan, bulanan dan tahunan dihabiskan di pusat. Alasannya, jawatan yang dia pegang itu menuntutnya berada sepenuh masa di Kuala Lumpur.

Sedangkan dia lupa, undi dia, sokongan dia berada di Pengkalan Chepa dan Pasir Mas. Perlu dijengok setiap masa, perlu ditatang seperti minyak yang penuh.

Kain rentang dipasang di Pasir Mas gesa Nik Abduh letak jawatan
Kain rentang dipasang di Pasir Mas gesa Nik Abduh letak jawatan

Saya tidaklah tahu sangat sejauh mana dia habiskan masa bersama akar umbinya di Pengkalan Chepa dan dengan pengundinya di Pasir Mas. Tapi saya tidak menang tangan terima makluman, ramai daripada mereka merungut dan marah-marah.

Mereka merungut kerana sukarnya nak bersua muka dengan pemimpin parti dan mereka marah-marah kerana payahnya nak kemukakan aduan kepada wakil rakyat. Kalau ada masalah atau aduan, semua itu perlu melalui kakitangannya di pusat khidmat.

Sebagai ahli parti dan rakyat, bukan kakitangan pejabat pusat khidmat yang mereka nak tengok. Mereka nak bersua muka, bermesra dan mengadu masalah secara berdepan dengan wakil rakyat mereka.

Kalau itu pun tidak boleh dan tidak pernah ada peluang, lebih baik mereka pilih calon wakil rakyat lain. Buat apa kalau pergi ke pusat khidmat hanya nampak gambar wakil rakyat saja di dinding, sedang pejabat pula sepi tidak ada nur.

Inilah antara faktor dia kalah dalam perebutan jawatan parti di Pengkalan Chepa dan tidak mustahil akan terima nasib sama di Pasir Mas pada PRU-14 ini jika dia tidak mahu berubah dari sekarang.

Bahkan, di beberapa lokasi di kawasan Parlimen Pasir Mas pun sudah ada kain rentang dipasang pihak tertentu dengan tertera tulisan “letak jawatan”.

Pada saya, ini isyarat yang perlu diambil serius oleh Nik Mohamad Abduh. Jangan pula dia anggap dan beri alasan, “Oh, kain rentang itu mesti dari musuh saya, PAN (Parti Amanah Negara)”.

Penyokong PAN pun pengundi berdaftar juga. Mereka pun akan keluar mengundi juga mengikut saluran masing-masing di pusat membuang undi pada PRU-14 ini.

Pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar Ogos tahun lalu pun menunjukkan Pas tempat ketiga, PAN kedua tertinggi dan UMNO/Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti besar. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan